comscore
Tumpuan :
Sukan

Impian Speedy Tigers layak ke Paris 2024 musnah

Impian Malaysia untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris musnah selepas diikat 3-3 oleh Pakistan dalam aksi terakhir Kumpulan A kempen kelayakan di Muscat, Oman. – Foto MHC

KUALA LUMPUR: Jaringan penyamaan Rana Waheed Ashraf pada suku keempat memusnahkan impian Malaysia untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris selepas diikat 3-3 oleh Pakistan dalam aksi terakhir Kumpulan A kempen kelayakan di Muscat, Oman pada Khamis (awal pagi tadi).

Susulan keputusan itu, Malaysia gagal menempatkan diri ke separuh akhir lantas menamatkan saingan kumpulan di tempat tercorot dengan satu mata di belakang China yang meraih tiga mata, Pakistan (empat mata) dan Great Britain yang mengungguli kedudukan dengan sembilan mata.

Skuad kendalian Arul Selvaraj harus menyalahkan diri sendiri apabila membenarkan Pakistan bangkit sebanyak tiga kali dalam perlawanan penuh debaran di Stadium Hoki Oman itu.

Fitri Saari meletakkan Malaysia di depan menerusi jaringan padang pada minit ke-20 namun kelebihan dimiliki Speedy Tigers hanya bertahan tiga minit apabila Sufyan Khan memanfaatkan pukulan sudut penalti untuk menyamakan kedudukan buat Pakistan.

Malaysia kembali mendahului apabila Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal bijak menyempurnakan pukulan sudut penalti oleh ketua pasukan Muhammad Marhan Mohd Jalil dalam situasi kelam kabut di depan pintu gol lawan pada penghujung suku kedua.

Tiga minit selepas suku ketiga bermula, pasukan bimbingan Sheikh Shahnaz sekali lagi bangkit mengikat skuad kebangsaan, kali ini menerusi Ammad Butt yang melepasi kawalan benteng pertahanan negara untuk menolak bola ke dalam gawang Malaysia.

Selepas pukulan penalti diambil Muhammad Razie dinafikan penjaga gol, Abdullah Ishtiaq Khan, usaha keras Malaysia untuk kembali memimpin perlawanan membuahkan hasil apabila Muhammad Firhan Ashari menyumbat gol padang pada minit ke-40.

Bagaimanapun kelegaan Malaysia bertukar kekecewaan pada minit ke-52 apabila Rana Waheed menjaringkan gol padang, sekali gus menjadi wira Pakistan yang mengesahkan kemaraan pasukan itu ke separuh akhir.

Dalam aksi lain, Great Britain mengekalkan rekod cemerlang mereka apabila menutup saingan Kumpulan A dengan membelasah China, 6-0.

Hanya tiga pasukan terbaik dalam kempen di Oman akan melayakkan diri ke Paris.

Malaysia akan meneruskan perjuangan di Oman selepas dijadualkan bertemu Chile bagi perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan, esok.

Kali terakhir Malaysia layak ke temasya terbesar dunia itu adalah pada edisi 2000 di Sydney. – BERNAMA

Loading...
Terkini