KUALA LUMPUR: Atlet boling remaja lelaki negara, Muhammad Imran Azmi mencipta sensasi apabila menjuarai Kejohanan Remaja Antarabangsa All-Stars kategori Bawah 12 Tahun (B-12) di Sunway Mega Lanes, semalam.
Dalam perlawanan final, Imran yang juga atlet di bawah program pembangunan Wilayah Persekutuan (Wipers) mengalahkan pemain Singapura, Lyndon Lin 185-176.
Kejayaan menakluk kejohanan berprestij peringkat umur itu menyaksikan Imran meneruskan rentak cemerlangnya pada tahun ini selepas turut menjuarai enam daripada tujuh gelaran di Sirkit Remaja Kebangsaan termasuk Grand Prix Final, dua minggu lalu.
“Ini adalah kemenangan pertama saya di peringkat antarabangsa dan mengalahkan pencabar dari Singapura dan Korea Selatan memang sesuatu yang istimewa,” kata Imran yang menjadikan atlet kebangsaan, Tun Hakim Tun Hasnul Azam sebagai idolanya.
Sebelum menakluk pentas final, Imran mengisi tangga teratas saingan peringkat awal dengan melakukan keseluruhan 1,724 jatuhan pin daripada lapan permainan diikuti Lyndon kedua (1,659 jatuhan pin) dan wakil Korea Selatan, Han Sung Yong ketiga dengan 1,644 jatuhan pin.
Imran dalam pada itu tidak akan ‘berehat’ apabila turut layak beraksi dalam acara final B-15 yang berlangsung hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.