comscore
Tumpuan :
Sukan

Inisiatif KWASN akan diperluaskan kepada atlet persendirian

Inisiatif KWASN bantu atlet persendirian untuk bersaing di pentas tertinggi sukan antarabangsa. Foto hiasan

PUTRAJAYA: Susulan aduan daripada atlet persendirian yang bertanding dalam kejohanan antarabangsa namun tidak menerima sebarang dana, Kementerian Belia dan Sukan memaklumkan, inisiatif Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) akan diperluaskan kepada kelompok atlet berkenaan.

“Jadi kami telah mendengar keluhan mereka dan sekarang mereka boleh mohon di bawah KWASN sekiranya kejohanan itu diperakui oleh Majlis Sukan Negara (MSN),” kata Ketua Setiausaha KBS Dr K. Nagulendran.

“Apabila mereka pergi ke luar negara, kita akan merujuk kadar semasa yang ditetapkan oleh MSN untuk memberi bantuan kepada atlet tersebut,” katanya dalam sidang media di Menara KBS, di sini hari ini.

Nagulendran turut menggalakkan badan sukan berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) yang ingin mengadakan kejohanan sukan peringkat kebangsaan untuk memohon geran daripada KWASN.

“Kalau persatuan sukan kebangsaan nak buat kejohanan peringkat antarabangsa, mereka digalakkan untuk memohon dana ini. Ia agak berbeza dengan Geran Padanan Sukan (GPS) kerana dana ini berbentuk geran 100 peratus tetapi mengikut kadar kerajaan dan boleh dimohon oleh persatuan sukan kebangsaan,” jelas beliau.

Selain KWASN, Nagulendran turut mengumumkan tiga lagi bentuk dana yang ditawarkan KBS kini boleh dipohon iaitu GPS, Dana Sukan Komuniti (DSK) serta Dana Bantuan (Pembangunan Belia) KBS.

Ujar beliau, GPS yang baharu diperkenalkan pada tahun lalu dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM40 juta dan bertambah kepada RM50 juta tahun ini, mendapat sambutan menggalakkan apabila pihaknya menerima sebanyak 925 permohonan dengan 467 daripadanya diluluskan.

“Sambutan yang diterima pada tahun lepas sangat menggalakkan, jadi kita teruskan pada tahun ini, tetapi kita nak pelbagaikan jenis sukan dan fokus kepada sukan berimpak tinggi dan spesifikasi tinggi,” katanya.

Loading...
Terkini