comscore
Tumpuan :
Sukan

Iran lapor FIFA, AS padam perkataan Allah pada bendera

Iran buat laporan kepada FIFA selepas AS keluarkan simbol Allah daripada bendera negara itu. – FOTO: NSTP

DOHA: Persekutuan bola sepak Iran membuat aduan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung penyingkiran perkataan “Allah” daripada bendera Republik Islam itu dalam siaran media sosial pasukan kebangsaan Amerika Syarikat (AS), menjelang pertembungan Piala Dunia antara kedua-dua negara.

“Dalam satu tindakan tidak profesional, laman Instagram persekutuan bola sepak AS mengeluarkan simbol Allah daripada bendera Iran,” lapor agensi berita IRNA semalam.

“Persekutuan bola sepak Iran menghantar e-mel kepada FIFA menuntut badan induk bola sepak dunia itu memberi amaran serius kepada persekutuan AS,” tambahnya.

Tiada maklum balas segera daripada FIFA terhadap aduan itu, hadir ketika AS bersiap sedia berdepan Iran dalam perlawanan penentuan Piala Dunia awal pagi Rabu ini.

AS dan Iran memutuskan hubungan diplomatik pada tahun 1980.

Persekutuan Bolasepak Amerika Syarikat (USSF) dalam satu kenyataan memutuskan untuk tidak menyiarkan bendera rasmi di akaun media sosial sebagai menunjukkan solidariti terhadap “wanita di Iran yang memperjuangkan hak asasi manusia” berikutan kematian gadis Iran berusia 22 tahun, Mahsa Amini ketika dalam tahanan polis.

Bendera Republik Islam Iran terdiri daripada tiga jalur mendatar berwarna merah, putih dan hijau dengan perkataan “Allah” diletakkan di bahagian tengah.

Akaun Twitter pasukan AS memaparkan sepanduk dengan perlawanan skuad itu di peringkat kumpulan, dengan bendera Iran hanya mengandungi warna hijau, putih dan merah.

Perkara sama dilihat dalam catatan di akaun Facebook dan Instagram mereka yang memaparkan kedudukan terkini dalam Kumpulan B yang turut disertai England dan Wales.

Menjelang awal pagi tadi, bendera biasa Iran dengan perkataan ‘Allah’ dikembalikan semula dalam ruangan Twitter, Facebook dan Instagram pasukan itu.

“Kami mahu menunjukkan sokongan kami kepada wanita di Iran dengan grafik kami selama 24 jam,” kata persekutuan itu.

Agensi berita Tasnim dari Iran menyatakan di Twitter, pasukan AS “melanggar piagam FIFA, yang mana penggantungan 10 perlawanan adalah penalti yang sesuai”.

Pasukan AS “harus disingkirkan” daripada Piala Dunia, katanya. Bagaimanapun FIFA dijangka tidak mengambil tindakan sedemikian. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini