Tumpuan :
Sukan

Jangan Dayak Dayak kan aku – Tommy Mawat

Pergaduhan membabitkan pemain JDT FC, Arif Aiman Hanapi dan pemain Perak FC, Tommy Mawat dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pertahanan Perak FC, Tommy Mawat Bada tanpa berselindung meluahkan rasa kecewa selepas dirinya menerima komen berbaur perkauman daripada seorang peminat di media sosial susulan insiden pergaduhannya dengan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Ahad lalu.

Menerusi hantaran di Instagram miliknya, pemain kelahiran Sarawak itu membalas komen seorang peminat yang mencemuhnya dan memanggil dirinya Dayak.

Jelas bekas pemain Malaysia bawah 23 (B-23) itu, dirinya tidak kisah menerima kecaman, namun kecewa kerana ia membabitkan isu perkauman.

“Semua bebas untuk bersuara. Nak marah, tegur, maki semua boleh, kita hanya manusia biasa dan hidup di atas muka bumi yang sama.

“Jika marah sekali pun jangan sebut soal keluarga dan kaum (Dayak). Ya, saya dilahirkan sebagai Dayak dalam darah saya.

“Saya masih berasa bangga dengannya sehingga hari ini. Jadi abang-abang dan kakak-kakak, jangan bangkitkan isu perkauman (anda bakal menyesal kemudian nanti).

“Jangan Dayak Dayak kan aku. Apa akan jadi jika orang Dayak lain lihat dan baca komen kamu? Bolehkan anda uruskan mereka?

“Jangan jadi badut dan rasis. Semoga Tuhan rahmati kamu, terima kasih. Jangan sebarkan kebencian dalam dunia bola sepak,” katanya.

Ketika insiden yang tercetus pada minit ke-83 itu, Tommy dilihat mengasari Arif Aiman dan situasi itu mencetuskan pergaduhan antara kedua-dua pemain sebelum rakan sepasukan dan pengadil, Razlan Joffri Ali turut serta meleraikan pergaduhan itu.

Razlan dilihat melayangkan kad kuning sebelum Arif Aiman menumbuk muka Tommy namun penyokong menyatakan kehairanan selepas Arif Aiman ‘terlepas’ daripada sebarang layangan kad merah susulan tindakan ganas itu.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundaram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, kedua-dua pemain berkenaan tetap boleh dikenakan hukuman atau tindakan lanjut biarpun mereka hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini