
PETALING JAYA: Di atas kertas berdasarkan ranking semasa, kelebihan tampak berpihak Malaysia, namun Taiwan juga berkelebihan dengan beraksi di gelanggang sendiri.
Itu antara congak-congak menjelang pertemuan kedua Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 Taiwan menentang Harimau Malaya malam esok.
Bagi tonggak pertahanan Dion Cools yang menjaringkan dua gol membantu Harimau Malaya menewaskan Kyrgyzstan 4-3 di Bukit Jalil Khamis lalu, walaupun Taiwan ketika ini berada di ranking ke-152 dunia, itu bukanlah alasan untuk barisan pemain beraksi sambil lewa., sikap itu tegas Cools boleh menjerat pasukan.
“Kami sentiasa menghormati lawan, namun tidak kira mereka berada di ranking 100 terbaik dunia atau sebaliknya, barisan pemain tetap berjuang habis-habisan.
“Skuad Harimau Malaya mahukan tiga mata kerana ia penting untuk pastikan peluang kita lebih cerah untuk ke pusingan seterusnya.
“Semua pemain ketika ini berada dalam keadaan gembira dan tidak sabar mahu beraksi pada perlawanan malam esok,” kata Cools pada sidang media pra perlawanan Taiwan di Taipei hari ini.
Selepas masing-masing mengharungi satu perlawanan, Oman menerajui Kumpulan D hasil kemenangan 3-0 ke atas Taiwan di Muscat, Malaysia di tangga kedua selepas menundukkan Kyrgyzstan 4-3 di Bukit Jalil .