comscore
Tumpuan :
Sukan

JDT berpisah pula dengan Fernando Forestieri

FOTO: Johor Southern Tigers/ Facebook

JOHOR BAHRU: Selepas membuat pengumuman mengejut melepaskan beberapa pemain dan barisan kejurulatihan, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini membuat satu lagi kejutan.

Menerusi hantaran terbaharu di Facebook Johor Southern Tigers, JDT mengucapkan terima kasih kepada penyerang pasukan itu, Fernando Forestieri atas sumbangan beliau kepada pasukan Harimau Selatan.

Forestieri yang menyertai JDT sejak musim 2022 merupakan pemain yang menjadi sebahagian daripada skuad JDT yang mencipta sejarah memenangi ‘double quadruple’ pada 2022 dan 2023.

Beliau telah menjaringkan 47 gol dan 21 bantuan jaringan menerusi 69 penampilan dengan JDT.

Minggu lalu, JDT melepaskan ketua jurulatihnya, Esteban Solari dan Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan serta Dr Leandro Pinero daripada barisan kejurulatihan.

Turut meninggalkan pasukan itu, pemain seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo selepas lama berkhidmat untuk kelab.

Beberapa pemain turut dipinjamkan keluar seperti Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Haziq Nadzli.

Juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu dilapor melakukan perubahan besar dari segi kos perbelanjaan pasukan pada musim depan.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards berkata, jika sebelum ini mereka berbelanja besar, namun bagi musim 2024/25, Harimau Selatan melakukan perubahan iaitu dengan pengurangan kos kewangan demi memastikan pasukan itu terus berdaya saing pada musim akan datang.

Bekas pengendali sebelum ini, Hector Bidoglio diumumkan kembali membimbing JDT untuk musim baharu, dengan seorang pemain import telah ditandangani setakat ini iaitu Jalil Elias.

Loading...
Terkini