comscore
Tumpuan :
Sukan

JDT masih belum selesa, Sabah perlu kekal disiplin

FOTO: MALAYSIAN FOOTBALL LEAGUE (MFL)

Oleh Fariz Zolkarnain

LIKAS: Pengendali Johor Darul Ta’zim, Hector Bidoglio mengakui kemenangan 1-0 ke atas Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu semalam masih belum mencukupi menjelang separuh akhir kedua Piala Malaysia, 20 November ini.

Juara dua kali Piala Malaysia itu jelas bergelut beraksi di atas padang basah namun jurulatih berusia 54 tahun kelahiran Argentina berkenaan tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.

Pemain lincah, Arif Aiman Hanapi muncul wira JDT apabila menjaringkan gol tunggal permainan pada minit ke-34.

“JDT bermain dengan sangat bagus. Padang basah tetapi pemain tetap mahu memberikan yang terbaik.

“Kami menjaringkan satu gol dan ia sememangnya kurang kerana kami mahu lebih jaringan.

“Perlawanan ini sangat sukar dan saya sudah menjangkakannya. Saya percaya separuh akhir kedua nanti juga akan berlangsung sengit,” jelas Bidoglio selepas tamat perlawanan, semalam.

Sementara itu Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee lega pasukannya tidak dibolosi dengan jaringan yang besar.

Sekalipun tidak dapat menurunkan kesebelasan terbaik berikutan beberapa pemain utama mengalami kecederaan, Sabah tetap berjaya memberikan tentangan sengit sebelum tewas tipis di halaman sendiri.

“Pemain Sabah hari ini (semalam) menunjukkan satu semangat juang yang cukup tinggi.

“Sudah tentu kami tewas dengan jaringan pada separuh masa pertama yang boleh kami elakkan namun ada lagi 90 minit untuk bermain di Johor pada 20 November.

“Saya berharap pemain dapat mengekalkan disiplin terutamanya apabila bermain dengan pasukan baik seperti Johor,” jelasnya.

Selain Sabah, JDT juga tidak dapat menggunakan khidmat pemain pertahanan, Feroz Baharudin akibat penggantungan selepas dilayangkan kad kuning kedua, semalam.

Aksi separuh akhir kedua akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Ahad ini.

Loading...
Terkini