Tumpuan :
Sukan

JDT menang besar di SSI

FOTO: NSTP

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) yang hadir selaku pasukan pelawat tidak berdepan masalah untuk meratah Perak FC 5-0 pada aksi tertunda Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini, sebentar tadi.

Keputusan itu juga menyaksikan skuad kendalian Hector Bidoglio menamatkan saingan pusingan pertama dengan rekod bersih tanpa kekalahan selepas mengharungi 14 perlawanan dengan 13 kemenangan dan satu seri untuk mengumpul 40 mata.

Malah juara 10 kali liga itu tampak berada di landasan tepat bagi memburu kejuaraan ke-11 pada musim ini ketika pencabar terdekat Selangor FC ketinggalan 11 mata.

Aksi kedua-dua pasukan yang disambung pada minit ketiga permainan di babak pertama jelas dikuasai JDT tampak mahu memburu gol awal dan pada minit ke-12 bola rembatan deras Arif Aiman Hanapi memaksa penjaga gol, Mohamad Ramdhan Ab Hamid melayangkan badan untuk menepis bola.

Serangan bertali arus JDT akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-21 selepas sepakan lintang Arif Aiman gagal ditangkap kemas Mohamad Ramdhan membolehkan Romel Romeles yang tidak dikawal mudah menolak bola masuk.

Arif Aiman sekali lagi menjadi pencetus jaringan kedua skuad Harimau Selatan pada minit ke-23 selepas bola hantaran lintang di posisi sayap kanan menyaksikan Bergson da Silva meluru untuk merembat bola dari luar kotak penalti tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Mohamad Ramdhan.

FOTO: NSTP

Harimau Selatan yang ‘bertandang’ ke SSI terus menambah derita skuad The Bos Gaurus selaku tuan rumah pada perlawanan itu selepas mencipta gol ketiga pada minit ke-35 berpunca daripada bola umpanan Juan Muniz membolehkan Morales mencetak gol kedua peribadi apabila menolak masuk menewaskan Mohamad Ramadhan.

Ketika memasuki masa kecederaan pada minit ke-48, JDT dihadiahkan sepakan penalti selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesan ada kekasaran berlaku apabila Jesper Nyholm melakukan terjahan keras terhadap Bergson di dalam kotak penalti.

Pengadil perlawanan, Razlan Jofri Ali yang melakukan semakan VAR tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti dan Bergson yang mengambil sepakan itu merembat tepat ke penjuru kiri menewaskan Mohamad Ramdhan untuk meletak JDT selesa mendahului 4-0 bagi mengakhiri babak pertama.

Bersambung babak kedua, anak didik Bidoglio tampak memperlahankan rentak permainan selepas selesa dengan kedudukan 4-0 malah mereka juga berdepan corak permainan ‘berkampung’ di kawasan sendiri yang diterapkan anak didik Yusri Che Lah.

Walaupun sudah berada di ambang kemenangan, JDT tetap bernafsu untuk menambah jaringan dan pada minit ke-70 Arif Aiman yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti bertindak merembat bola kencang namun sempat ditepis Mohamad Ramdhan.

Ketika aksi berbaki dua minit untuk ditamatkan, Bergson melengkapkan hatrik selepas merembat bola hasil umpanan pemain gantian Nazmi Faiz Mansor dan kedudukan 5-0 memastikan JDT menang dengan bergaya ke atas skuad The Bos Bos Gaurus.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini