comscore
Tumpuan :
Sukan

[VIDEO] JDT pasukan pertama raih gelaran quadruple

FOTO: BERITA HARIAN

Oleh: Fariz Zolkarnain

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menyapu bersih kesemua empat trofi musim ini apabila menjuarai Piala Malaysia 2022, malam tadi.

Harimau Selatan muncul pasukan pertama meraih gelaran quadruple itu selepas menundukkan Selangor FC 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selangor kendalian Tan Cheng Hoe terlebih dahulu di depan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Herlison Caion pada minit ke-45.

Bagaimanapun jaringan itu tidak bertahan lama apabila penyerang berbisa JDT, Bergson Da Silva berjaya menyamakan kedudukan selepas menanduk sepakan penjuru Arif Aiman Hanapi pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Jaringan penyamaan itu jelas menyemarakkan semangat JDT sebaik babak kedua bersambung dan hasilnya Fernando Forestieri meledak gol kedua Harimau Selatan, minit ke-59.

Selangor cuba bangkit selepas itu, namun kebangkitan yang cuba dilakar juara 33 kali berkenaan tidak berhasil sehingga wisel penamat.

Untuk rekod, empat trofi yang dimenangi JDT musim ini adalah Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Liga Super dan Piala Malaysia.

Kejayaan JDT merangkul gelaran juara Piala Malaysia juga menyaksikan Selangor terlepas slot ke Piala AFC musim depan sebaliknya ia akan menjadi milik pasukan di tangga ketiga Liga Super 2022, Sabah FC.

Loading...
Terkini