comscore
Tumpuan :
Sukan

JDT sedia balas dendam

FOTO: Johor Southern Tigers

ISKANDAR PUTERI: Juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta’zim, JDT, melaungkan amaran untuk bangkit menebus kekalahan di tangan Kawasaki Frontale apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada 28 November ini.

Pada perlawanan pertama di Stadium Sultan Ibrahim, 19 September lalu, JDT tewas tipis menerusi jaringan lewat babak pertama Marcinho.

“Kami tahu kami akan menentang pasukan besar (Kawasaki Frontale) dan seperti yang saya katakan sebelum ini, ia bukanlah satu perlawanan yang mudah.

“Tetapi kami telah pamerkan kami adalah pasukan yang kompetitif, kami akan bersaing dengan semangat yang sama dan cuba memenangi perlawanan ini,” kata jurulatih JDT Esteban Solari, pada sidang media selepas pasukannya menewaskan Kuching City FC 2-0 dalam aksi Liga Super di sini semalam.

Walaupun beraksi di arena lawan, Stadium Kawasaki Todoroki, Esteban yakin anak buahnya boleh menewaskan juara  empat kali Liga-J itu.

“Kami kuat dalam pertahanan dan serangan, kami percaya kami boleh melakukannya (menang) yang menjadi sasaran kami,” katanya.

JDT kini menduduki tempat ketiga dengan enam mata iaitu berkongsi kedudukan dengan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai yang mendahului dengan perbezaan gol.

Kalah perlawanan pertama kepada Kawasaki, JDT bangkit  menewaskan kelab Thailand BG Pathum United 4-2 di gelanggang lawan namun pada perlawanan ketiga tumpas kepada Ulsan 1-3 juga di tempat lawan sebelum menebus kekalahan itu 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim.

Manakala Kawasaki  mendahului Kumpulan I dengan  12 mata selepas menang keempat-empat perlawanan.

Kata Solari lagi, pemain lebih fokus dan bermotivasi berdepan Kawasaki kali ini kerana mereka tahu kepentingan perlawanan itu.

Loading...
Terkini