Tumpuan :
Sukan

JDT, Selangor bantu Malaysia pintas Australia dalam ranking MA AFC

KUALA LUMPUR: Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Ulsan HD dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Selasa lalu sekali lagi membantu menaikkan kedudukan Malaysia dalam Ranking Members Association (MA) kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Kemenangan 3-0 ke atas juara K League 1 di Stadium Sultan Ibrahim itu menyaksikan JDT menyumbang 1.50 mata berdasarkan kemaskini tidak rasmi di laman sesawang Footy Rankings.

Tambahan mata itu menjadikan jumlah keseluruhan yang dikutip Malaysia adalah 32.861 mata, sekali gus memintas kedudukan Australia untuk berada di ranking kelima terbaik Zon Asia Timur.

Australia yang mengumpul 32.624 pula jatuh satu anak tangga dan berada di kedudukan keenam.

Meskipun Selangor tewas 0-1 kepada Jeonbuk Hyundai Motors dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di gelanggang lawan, semalam, Gergasi Merah tetap berjaya menyumbang mata dalam tiga perlawanan sebelum ini.

Selepas mengharungi empat aksi dalam saingan ACLE dan ACL2, JDT berjaya menyumbang 10.000 mata manakala Selangor pula mengumpul 6.667 mata.

Namun, kiraan secara purata berdasarkan jumlah kelab sesebuah negara yang bertanding, Malaysia mengutip 8.333 mata dan menjadi negara kedua paling banyak meraih mata selepas Jepun berdasarkan kedudukan semasa ranking Zon Asia Timur ketika ini.

Kedudukan dalam MA Ranking penting kerana ia akan menentukan jumlah slot buat wakil daripada sesebuah negara bertanding dalam saingan peringkat Asia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini