comscore
Tumpuan :
Sukan

JDT tepati ramalan ke suku akhir

Bergson (empat dari kanan) diasak pemain JDT pada aksi kedua pusingan 16 pasukan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim.

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan apabila melangkah ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) 2-0 pada aksi kedua pusingan 16 pasukan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Pada aksi pertama, skuad kendalian Hector Bidoglo menjinakkan PJ City FC 4-0 dan kemenangan aksi kedua itu membolehkan naib juara piala berprestij itu musim lalu mara dengan agregat 6-0 sekali gus akan bertemu pemenang perlawanan Kelantan FC atau Sarawak United FC pada suku akhir.

Dalam perlawanan itu, pengendali kelahiran Argentina berkenaan menurunkan barisan kedua yang menyaksikan kelibat Jordi Amat tampil buat pertama kali dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini bersama skuad Harimau Selatan.

Kehadiran semula Bergson Da Silva dalam kesebelasan utama nyata membuahkan hasil pada minit ketiga permainan apabila bola umpanan Shio Hong Wan di kawasan tengah menyaksikan Bergson melepaskan rembatan kencang dari jarak 30 meter tetap ke penjuru kiri gol sehingga Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi terpaku melihat bola menerjah jaring.

Selepas jaringan awal itu, anak didik P Maniam berusaha untuk merobohkan benteng JDT tetapi buntu mengatasi Jordi bersama Shahrul Saad dan Feroz Baharudin.

Walaupun selesa dengan agregat 5-0, anak didik Bidoglio tampak terus bernafsu memburu jaringan namun corak permainan kompak yang ditampilkan PJ City FC di posisi pertahanan memaksa beberapa percubaan dari luar kotak terpaksa dilakukan.

Memasuki babak kedua, Nazmi Faiz Mansor bertindak melakukan percubaan ke arah gol pada minit ke-47 selepas menerima bola umpanan dari Syafiq Ahmad namun Kalamullah sudah bersedia menangkap bola kemas.

Skuad The Phoenix hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-58 namun sepakan percuma M Kogileswaran hanya sipi di sebelah kiri gawang ketika penjaga gol, Haziq Nadzli hampir tertewas.

Tuan rumah menghukum pasukan pelawat pada minit ke-72 selepas gerakan menarik satu dua antara pemain gantian Fernando Forestier bersama Bergson menyaksikan pemain import dari Argentina itu mudah menolak bola menewaskan Kalamullah. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini