comscore
Tumpuan :
Sukan

JDT, TFC jadi pilihan aksi suku akhir Piala Malaysia

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC), Kuala Lumpur (KL) City FC, Selangor FC dan Negeri Sembilan FC menjadi empat pasukan terakhir yang berjaya memasuki gelanggang suku akhir Piala Malaysia musim ini selepas mengatasi lawan masing-masing, kelmarin.

Terdahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabah FC, Kuching City FC dan Kelantan FC mengesahkan tempat ke suku akhir dan sekali gus membentuk pertarungan mereka di peringkat lapan terbaik itu.

Pasukan pilihan utama, JDT, dijangka berdepan laluan mudah untuk meneruskan langkah ke separuh akhir apabila akan menentang naib juara Liga Perdana, Kelantan FC pada aksi suku akhir pada Sabtu dan 11 November ini.

Ia berdasarkan reputasi besar yang dimiliki skuad Harimau Selatan selaku juara Liga Super sembilan kali berturut-turut selain masih kekal dengan rekod tanpa kalah dalam saingan domestik sepanjang musim ini.

Pasukan tangga ketiga Liga Super, Sabah juga dilihat menjadi pilihan untuk ke separuh akhir apabila turut berdepan pasukan Liga Perdana, Kuching City di suku akhir.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee bagaimanapun tidak boleh terlampau yakin kerana Kuching City juga sudah membuktikan keupayaan mereka apabila menewaskan wakil Liga Super, Penang di pusingan 16 sebelum ini.

Saingan lebih sengit bakal disajikan dalam dua lagi laluan ke suku akhir yang membabitkan pertembungan naib juara Liga Super, TFC dan juara bertahan Piala Malaysia, KL City manakala Selangor akan menentang Negeri Sembilan.

TFC mengekalkan status pasukan pilihan selepas JDT, apabila mara bergaya ke suku akhir dengan membelasah pasukan jiran, Sri Pahang menerusi agregat 9-3.

Persembahan garang di pamerkan anak buah Nafuzi Zain itu seakan memberi amaran awal buat skuad City Boys yang mereka akan berdepan tugas berat di suku akhir.

Namun, KL City juga sebenarnya bukan calang-calang pasukan untuk dijinakkan dengan pengendalinya, Bojan Hodak adalah pakar dalam merencanakan taktikal memerangkap lawan terutama dalam saingan perebutan piala.

Ia sudah dibuktikan tahun lalu apabila muslihat Hodak berjaya membantu KL City mengejutkan JDT 2-0 pada aksi final, sekaligus menamatkan penantian 32 tahun skuad City Boys untuk muncul juara Piala Malaysia.

Pertembungan Selangor dan Negeri Sembilan juga menjadi satu lagi pertarungan ‘heavyweight’ di pentas suku akhir Piala Malaysia kali ini.

Sukar untuk menjangkakan sama ada Gergasi Merah atau skuad Hobin Jang Hobin yang akan lolos ke separuh akhir. Mungkin aksi suku akhir pertama, Ahad ini bakal memberi bayangan awal mengenai peluang kedua-dua pasukan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini