JOHOR BAHRU: Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) tetap berwaspada melayan kunjungan Kuching City FC pada aksi ke-11 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam esok.
Pengendalinya, Hector Bidoglio enggan mengambil mudah pertemuan menentang skuad kendalian Aidil Sharin Sahak yang mampu melakar kejutan jika pemainnya gagal memperagakan aksi terbaik.
Katanya, banyak lagi perkara perlu diperbaiki sebelum berdepan skuad The Cats terutama memperkemaskan lagi corak taktikal dan bersedia sekiranya lawan bermain secara bola hantaran jauh.
“Kita harus bersedia untuk menang apabila berdepan ‘second ball’ dan mengelak daripada dibolosi lagi kerana apa yang terjadi selepas pasukan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) mampu menjaringkan gol perlu dielak dan ianya tidak harus berulang.
“Saya tidak nafikan ia perlawanan sukar buat kami apabila berdepan Kuching City yang dibarisi pemain hebat dan kami akan terus berusaha untuk mencari kemenangan,” katanya.
Pengendali kelahiran Argentina itu menambah akan ada penggiliran pemain apabila berdepan Kuching City dan beliau akan mengenal pasti pemain yang bersesuaian untuk disenarai dalam kesebelasan utama.
Ujarnya, perlawanan itu juga penting buat JDT kerana akan mengharungi aksi kedua kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang kelab dari China, Shanghai Shenhua pada 1 Oktober ini.
“Siapa yang akan beraksi menentang Kuching City, saya akan putuskan sehari sebelum perlawanan kerana ingin menilai setiap pemain terutama pemain yang perlu minit permainan selain membentuk barisan mantap bagi aksi ACLE,” jelas Bidoglio.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.