comscore
Tumpuan :
Sukan

Jerman rehatkan pemain utama hadapi Oman pada aksi persahabatan

Hansi Flick bersama penolong jurulatihnya, Marcus Sorg dan Danny Rohl pada sesi latihan di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat, Oman. Foto: REUTERS

Oleh Fariz Zolkarnain

MUSCAT: Ketua jurulatih Jerman, Hansi Flick tidak menolak kemungkinan akan merehatkan beberapa pemain utama menjelang aksi perlawanan persahabatan menentang Oman, awal pagi nanti.

Beberapa pemainnya baharu sahaja selesai mengharungi saingan liga, Ahad lalu dan situasi itu memberikan Flick gambaran jelas mengenai pemain manakah yang akan diturunkan pada aksi  persahabatan.

Yang pasti kelibat penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen tidak akan kelihatan kerana masih berada di Frankfurt kerana mengalami masalah gastrousus.

Oman tidak pernah layak ke Piala Dunia namun pasukan kendalian Branko Ivankovic itu sedia memberi tentangan sengit di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat.

“Kami memerhati dengan teliti siapa yang memerlukan rehat dan siapa yang boleh bermain hanya 45 minit.

“Pada akhirnya, ia adalah untuk memastikan kami berada pada tahap yang terbaik sebelum menentang Jepun.

“Itu adalah rancangan semasa dan ada kemungkinan kami akan memberi rehat kepada beberapa pemain esok (awal pagi Khamis),” jelas Flick.

Jerman akan memulakan aksi pertama kumpulan E menentang Jepun pada 23 November, disusuli melawan Sepanyol (28 November) dan Costa Rica (2 Disember).

Untuk rekod, Jerman sudah memenangi Piala Dunia sebanyak empat kali iaitu pada 1954, 1974, 1990 dan 2014.

 

Loading...
Terkini