comscore
Tumpuan :
Sukan

‘Jika beraksi di separuh akhir, anda pasti mahu ke final’ – Koeman

“Sebagai rakyat Belanda, anda mesti bangga dengan pasukan kami.” kata Ketua jurulatih Belanda, Ronald Koeman. – FOTO: Reuters

DORTMUND: Belanda percaya pasukan itu berpeluang untuk mencipta sesuatu yang istimewa selepas kejayaan melangkah ke separuh akhir Euro 2024.

Kemenangan 2-1 ke atas Turkiye pada suku akhir di Berlin membolehkan Oranje menempah pertemuan dengan England bagi memburu tiket ke final di Dortmund, awal pagi Khamis ini.

Skuad bimbingan Ronald Koeman kini semakin hampir untuk mengulangi pencapaian terbaik mereka ketika muncul juara pada edisi 1988 juga berlangsung di bumi Jerman.

“Kami akan bermain dalam dua lagi perlawanan jika semuanya berjalan lancar,” kata Koeman yang turut membarisi skuad 1988 ketika Belanda muncul juara.

“Tiada siapa menjangkakan perkara ini. Namun, misi kami masih belum berakhir.

“Jika anda beraksi di separuh akhir, anda juga pastinya mahu mara ke final.”

Ditanya mengenai negara mana yang menjadi pilihannya untuk bertemu di final, Koeman berkata: “Saya lebih gemar bermain menentang Sepanyol kerana kami sudah pun menentang Perancis dalam saingan peringkat kumpulan.

“Namun, kami perlu menewaskan England terlebih dahulu,” katanya.

Koeman sedar apa yang diperlukan untuk memenangi kejohanan itu selepas menjadi sebahagian daripada pasukan yang memenanginya 36 tahun lalu dengan menewaskan Soviet Union dalam aksi final di Munich.

Bagaimanapun, kali ini pasukannya tidak melalui perjalanan yang meyakinkan ke separuh akhir, dengan Belanda hanya mara ke peringkat kalah mati kejohanan sebagai salah satu daripada empat pasukan tangga ketiga terbaik.

Kekalahan 3-2 kepada Austria dalam perlawanan akhir Kumpulan D mencetuskan kebangkitan Belanda yang menewaskan Romania 3-0 dalam aksi pusingan 16 terakhir sebelum kejayaan mengatasi Turkiye, awal pagi semalam.

“Sebagai rakyat Belanda, anda mesti bangga dengan pasukan kami. Kadang-kadang kami dikritik kerana negara lain bermain dengan lebih bersemangat, tetapi kami benar-benar menunjukkan semangat seperti singa,” katanya. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini