comscore
Tumpuan :
Sukan

Juara di Sepanyol, Liek Hou raih hadiah hari jadi lebih awal

Liek Hou bersama pingat emas perseorangan lelaki SU 5 yang dimenanginya di saingan Antarabangsa Toledo Sepanyol. – FOTO: Facebook/Cheah Liek Hou

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou mendapat hadiah hari jadi yang diinginkan kali ini apabila menjuarai saingan perseorangan lelaki Antarabangsa Toledo Sepanyol.

Pemenang tujuh kali di Para Kejuaraan Dunia itu akan menyambut hari lahirnya yang ke-34 Rabu ini dan gembira mengalahkan Fang Jen-Yu di perlawanan akhir 21-7, 21-13.

“Saya bertahan dan makan ubat sampai ke peringkat akhir dan akhirnya saya menang untuk kelayakan ke Sukan Paralimpik Paris 2024.” luah Liek Hou menerusi laman sosialnya.

Beliau menyifatkan keadaan cuaca sejuk di tempatnya bertanding sebagai cabaran utama menyaksikan suhu sebelah pagi menurun sehingga -4 darjah celsius.

“Memang saya tak biasa di negara sejuk sampai keadaan fizikal saya menurun.”

“Saya akan menjadikan ini sebagai pengajaran apabila mempunyai kejohanan yang berada di cuaca sejuk,” tambahnya lagi.

Beliau menjuarai kategori SU 5 yang pertama di tahun 2023, selepas bergelar naib juara di saingan Antarabangsa Vitoria-Gastez juga di negara sama minggu lalu.

Dalam acara beregu lelaki pada 26 Februari, Liek Hou yang berpasangan dengan Muhammad Fareez Anuar muncul juara dengan menewaskan Chirag Baretha/ Raj Kumar 22-20, 21-23, 21-15 di perlawanan akhir.

Loading...
Terkini