
PETALING JAYA: Pemain boling elit wanita negara, Natasha Mohamed Roslan, akur dengan kekalahan mengejut yang dialami pada Kejohanan Boling Kebangsaan ke-45 semalam.
Natasha yang merangkul pingat emas acara individu wanita pada Kejohanan Dunia di Kuwait awal bulan lepas berkata kekalahan itu adalah satu proses pembelajaran yang amat berguna kepada dirinya.
Menurutnya ia juga akan mematangkan beliau dalam menghadapi kejohanan seterusnya, selain perlu berdepan pelbagai cabaran untuk beraksi pada tahap optimum dalam tempoh yang singkat.
“Saya kecewa tetapi ini adalah proses pembelajaran sebab saya sedang menyesuaikan diri dengan bola baru dan pada masa sama berehat selama seminggu selepas (aksi di) Kuwait disebabkan kecederaan jari yang koyak.” katanya.
Pada saingan Masters Terbuka Wanita di sini semalam, Natasha menamatkan saingan di posisi ke-15 daripada keseluruhan 18 peserta dengan melakukan 1,489 jatuhan pin sekali gus gagal mara ke saingan ’step-ladder’.
Gelaran juara diraih rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan, Sin Li Jane selepas mengatasi seorang lagi atlet negara Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman 196-180 pada aksi penentuan ‘step ladder’.
Pada kejohanan dunia di Kuwait, Natasha menewaskan Li Jane di final untuk dinobatkan sebagai juara dunia.
Natasha dan Li Jane juga adalah sebahagian daripada skuad juara dunia acara berpasukan wanita di Las Vegas, Amerika Syarikat pada 2017 yang turut dibarisi legenda Datuk Shalin Zulkifli, Siti Safiyyah dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi.