comscore
Tumpuan :
Sukan

Jun Hao sedia sahut cabaran sekiranya dipanggil perkuatkan skuad Piala Thomas

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Perseorangan negara, Leong Jun Hao tidaklah segah nama-nama besar badminton dunia, tetapi bekas juara remaja Asia itu memiliki semangat kental untuk memastikan Malaysia terus mencabar di pentas antarabangsa.

Dia sedar krisis kecederaan yang melanda barisan perseorangan menghadapi saingan Piala Thomas Mei nanti, justeru pemain berusia 24 tahun kelahiran Setapak itu sedia memberi segala-galanya andai dipanggil membantu skuad kebangsaan.

Jun Hao yang tewas pada saingan suku akhir Masters Sepanyol di Madrid semalam di tangan pemain Taiwan, Chou Tien Chen mengakui sudah mendapat keyakinan diri selepas bergelut dengan kecederaan berpanjangan sejak menyertai skuad senior pada 2018.

Di Madrid Jun Hao turut mencipta kejutan menundukkan juara Terbuka Switzerland  Lin Chun Yi, juga pemain Taiwan pada pusingan kedua.

Jun Hao antara pemain tonggak pada Kejuaraan Berpasukan Asia di Selangor bulan lalu apabila kecederaan melanda Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong.

Hari ini pula Persatuan Badminton Malaysia (BAM), mengesahkan Tze Yong masih mengalami kecederaan dan memutuskan pemain itu menarik diri pada Kejuaraan Asia di Ningbo, China bulan depan, sekaligus menutup peluang beraksi di Sukan Olimpik Paris.

Sebagai rekod Kejuaraan Asia adalah medan terakhir kutipan mata ke Paris.

“Saya sudah bersedia,” kata Jun Hao penuh semangat ketika dihubungi di Madrid.

“Jika perkhidmatan saya diperlukan saya bersedia berjuang dan memainkan peranan penting.

“Antara sebab mengapa saya lebih yakin sekarang, saya bebas daripada kecederaan dan mampu  mengekalkan persembahan untuk mencapai keputusan lebih baik,” kata Jun Hao

Juara Masters Kuala Lumpur 2023 itu akan kembali menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara dan pastinya menunggu penuh semangat panggilan skuad kebangsaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini