Tumpuan :
Sukan

Jun Hao terpaksa akur bergelar Naib Juara Masters Jepun

Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin

KUMAMOTO: Sandaran tunggal negara di perlawanan akhir Masters Jepun, Leong Jun Hao tewas kepada Li Shi Feng dalam aksi straight set dalam tempoh 44 minit.

Ia jelas bukan prestasi terbaik pemain berusia 25 tahun itu yang dilihat kurang tajam berbanding aksi-aksi sebelumnya di Kumamoto Prefectural Gymnasium.

Pemain perseorangan lelaki kebangsaan itu banyak menghantar bola ke net selain terperangkap dengan pukulan-pukulan deras lawannya yang turun selaku pilihan ke tujuh.

Anak buah K. Yogendran itu kecundang 10-21, 13-21 sekaligus memberikan podium juara kepada Shi Feng yang meraih gelaran sulungnya pada tahun 2024.

Keputusan tersebut juga memanjangkan rekod kekalahan Jun Hao kepada pemenang emas Sukan Asia lalu berkenaan 0-4 setelah turut tewas semasa Terbuka Indonesia dan Masters Malaysia tahun ini.

Gelaran naib juara Jelajah Dunia Super 500 itu membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai AS$15,960 bersamaan RM71,405.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini