comscore
Tumpuan :
Sukan

June Wei juara Piala Lin Dan di Macau

June Wei (tengah barisan belakang) dan Lin Dan (tengah barisan depan) ketika majlis penyampaian hadiah. – FOTO: CRCpg Chinese Recreation Club Penang

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional negara Cheam June Wei ibarat memperoleh ‘durian runtuh’ susulan kejayaannya pada kejohanan badminton Piala Lin Dan di Macau, China.

Hasil kemenangan pada kejohanan yang berlangsung di Studio City, Macau itu, pemain berusia 27 tahun itu membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah 300,000 yuan (RM182,000).

Apa yang menarik, jumlah itu mengatasi hadiah kemenangan yang diraih bintang Denmark, Viktor Axelsen yang menjuarai Terbuka Hong Kong, semalam iaitu AS$31,500 (RM135,000).

Malah setakat ini, June Wei sudah membawa pulang lebih 500,000 yuan (RM303,000) daripada Piala Lin Dan selepas turut memperoleh 200,000 yuan (RM121,000) hasil bergelar juara di kejohanan sama di Shenzhen pada Jun.

Menghuni ranking ke-61 dunia, June Wei turut beraksi di Terbuka Hong Kong namun tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Perancis, Christo Popov 10-21, 19-21.

Di Macau, June Wei bergelar juara selepas menewaskan pemain China, Zhou Ze Qi dalam pertarungan tiga set 14-21, 21-6, 21-16.

Berlangsung selama dua hari iaitu dari 14 hingga 15 September, Piala Lin Dan yang menampilkan format perlawanan peringkat kumpulan dan kalah mati begitupun bukan kejohanan yang mudah untuk dimenangi.

Selain aksi final yang menampilkan permainan format biasa 21 mata tiga set, format permainan 31 mata satu set digunakan di peringkat kumpulan sehinggalah separuh akhir.

Mengulas kemenangannya di Macau, June Wei berkata kejayaan yang diperoleh cukup sukar kerana kejohanan itu turut disertai bekas pemain handalan dunia selain jadual perlawanan yang padat.

Secara keseluruhan, pemain perlu beraksi tujuh perlawanan iaitu empat pada hari pertama dan tiga pada peringkat kalah mati sebelum meraih kemenangan.

“Saya amat gembira dengan kemenangan ini. Hadiah wang tunai yang diperoleh lumayan, dan sekali pun dengan pemotongan 20 peratus cukai, ia masih penting untuk saya sebagai pemain profesional dan akan membantu perbelanjaan saya beraksi di Jelajah Dunia BWF,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini