
KUALA LUMPUR: Dua pelumba muda negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril dan Hakim Danish Ramli menamatkan Kejuaraan JuniorGP Dunia 2023 dengan berada di kedudukan yang positif apabila kedua-duanya menamatkan kempen dalam kelompok 20 terbaik keseluruhan.
Danial Syahmi yang beraksi dalam kelas JuniorGP melabuhkan tirai musim 2023 dengan berada di kedudukan ke-20 keseluruhan selepas menemui garisan penamat di tempat ke-22 pada Perlumbaan 1 dan ke-15 (Perlumbaan 2) di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol, hujung minggu lalu.
Satu mata berjaya diraih Danial Syahmi pada Perlumbaan 2 dan baginya, dia sudah memberikan yang terbaik meskipun terpaksa bergelut dengan keadaan angin kuat selain dikenakan ‘Double Long Lap Penalty’ pada Perlumbaan 1.
“Penalti berkenaan disebabkan kesilapan dari saya sendiri ketika di sesi latihan dan kelayakan. Perkara ini menyebabkan agak sukar untuk saya berada bersama kelompok di hadapan tetapi pasukan saya memberitahu saya untuk terus lakukan yang terbaik dan saya menamatkan perlumbaan di P22.
“Pada perlumbaan 2 pula, saya mulakan perlumbaan dari petak ke-20 dan tamat di tempat ke-15. Ketika perlumbaan 2, saya bergelut untuk kekal berada dalam kelompok pelumba dan saya kurang yakin dengan jentera.
“Juga keadaan angin yang kuat. Saya cuba untuk terus berusaha, tetapi saya lakukan banyak kesilapan. Saya berikan yang terbaik dan berjaya mendapat satu mata yang bermakna bagi saya kerana ini adalah perlumbaan akhir saya di Eropah pada tahun ini dan ini adalah perlumbaan akhir untuk Kejohanan JuniorGP,” katanya.
Dalam pada itu, Hakim Danish pula melengkapkan kempen 2023 dengan berada di kedudukan ke-17 daripada 33 pelumba keseluruhan dalam kelas European Talent Cup (ETC).
Hakim Danish menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 selepas bermula dari petak ke-10 untuk meraih enam mata.
“Awal perlumbaan agak sukar bagi saya kerana kelompok di hadapan agak laju tetapi saya dapat kekalkan momentum saya sehingga garisan penamat. Saya menganalisa semula perlumbaan dan mendapati kelajuan saya sama seperti pelumba di kelompok hadapan cuma saya ketinggalan di awal perlumbaan.
“Saya tamatkan musim ini di kedudukan ke-17 keseluruhan. Pada awal musim di Estoril, saya berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dan berada di podium. Saya agak kompetitif di awal musim tetapi kurang sedikit ketika di pertengahan musim.
“Pada perlumbaan terakhir saya, saya berjaya mendapatkan rentak yang lebih baik dan saya akan berusaha dan perbaiki lagi untuk masa akan datang,” kata Hakim Danish.