comscore
Tumpuan :
Sukan

Juwaidi pecah rekod sendiri di Piala Dunia

Juwaidi meraikan kejayaan mencatat rekod baharu kebangsaan miliknya sendiri.

KUALA LUMPUR: Pemanah compound negara, Juwaidi Marzuki berjaya memperbaharui rekod kebangsaan miliknya yang dicipta tiga tahun lalu di Piala Dunia Memanah Antalya 2023 semalam.

Pada kejohanan itu, Juwaidi mengumpul 714 mata dalam acara 50 meter (m) selepas 72 panahan sekali gus memperbaharui rekod lamanya iaitu 709 mata yang dilakar di Kejohanan Memanah Asia 2019.

Bagaimanapun, mata diraih Juwaidi itu tidak cukup buat dirinya untuk menamatkan saingan di kedudukan podium apabila terpaksa berpuas hati di kedudukan kelapan secara keseluruhan.

Emas bagi kategori itu dimenangi pemanah Denmark, Mathias Fullerton yang meraih 717 mata diikuti atlet Amerika Syarikat, Sawyer Sullivan di tempat kedua manakala atlet El salvador Roberto Hernandez di tempat ketiga yang masing-masing meraih 715 mata.

“Memanah sangat seronok hari ini kecuali pada dua panahan terakhir yang sedikit susah bagi saya. Namun bagi saya untuk berada di tahap ini saya anggap ia sebagai satu bonus.

“Ranking kelapan dunia minggu ini di Piala Dunia dengan 714 mata dan ia rekod baharu kebangsaan. Saya harap akan ada lebih banyak keputusan positif akan diraih selepas ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya semalam.

Selain itu, Juwaidi turut memperbaharui tiga lagi rekod kebangsaan dalam acara individu 36 batang anak panah, compound berpasukan campuran bersama Fatin Nur Fatehah Mat Salleh dan compund berpasukan lelaki.

Loading...
Terkini