comscore
Tumpuan :
Sukan

 Kabinet minta KBS pantau tatakelola persatuan sukan

HULU SELANGOR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu memastikan pemantauan terhadap Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) terus diperkasa, kata menterinya Hannah Yeoh.

Beliau berkata ini kerana Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet telah memaklumkan kepadanya supaya semua NSA mempunyai tatakelola yang baik.

“Memang kita nak pastikan pemantauan terhadap persatuan sukan ini diperkasakan, kerana duit dalam sukan tak banyak, bila tak banyak tajaan, itu sangat berharga, setiap wang yang disumbang untuk pembangunan sukan mesti digunakan dengan baik.

“Kalau kita nak keyakinan orang ramai ataupun pihak swasta untuk terus bagi sumbangan kepada persatuan sukan, tatakelola itu mesti wujud dan kita kena ada kuasa pemantauan dan penguatkuasaan, itu sangat penting,” kata Hannah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Klinik Bola Sepak Bersama Komuniti Orang Asli Kuala Kubu Bharu di Kampung Orang Asli Pertak di sini, hari ini.

Hannah berkata KBS akan berbincang bersama Pesuruhjaya Sukan (PJS), untuk memastikan semua NSA mempunyai tatakelola yang baik.

Selain aspek tatakelola yang baik, beliau berkata KBS juga sedang melihat bagaimana untuk meminda akta sedia ada bagi memberikan lebih banyak punca kuasa kepada kementerian itu, sekali gus tidak hanya akan menanti laporan berhubung sesuatu perkara.
==BERNAMA==

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini