Oleh: Syakirah Zulkifly
KUALA LUMPUR: Khabar angin perpindahan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi ke Selangor FC terjawab selepas pengumuman dibuat skuad The Red Giants menerusi satu hantaran di media sosial rasmi hari ini.
“Skuad Gergasi Merah berbesar hati mengumumkan penjaga gol baharu, Kalamullah Al-Hafiz yang berusia 29 tahun untuk mengharungi baki musim 2024/25 bersama Selangor FC.
“Lebih mesra dengan panggilan Kalam, tiga tahun beraksi sebagai pemain pembangunan Felda United, beliau berjaya menembusi skuad utama pasukan tersebut dan beraksi dalam satu perlawanan.
“Namanya mula dikenali ramai ketika menyertai PJ City FC sejak 2019,” katanya dalam satu kenyataan.
Kalamullah dijangka bersaing dengan Samuel Somerville, Khairulazhan Khalid dan Azim Al Amin Kamaruddin untuk slot penjaga gol utama.
Sebaik melengkapkan perpindahan jendela kedua yang berakhir 22 September ini, Kalamullah berharap untuk menyesuaikan diri secepat mungkin untuk membantu Selangor lebih cemerlang.
“Selangor adalah antara nama kelab yang besar dalam liga Malaysia terutama sekali semasa zaman arwah Mokhtar Dahari, Shukor Adan dan ramai lagi pemain-pemain lain yang pernah bermain dalam kelab ini.
“Suasana di sini agak berbeza bagi saya tetapi bukan satu alasan untuk saya menyesuaikan diri dengan pemain-pemain lain. Harapan saya pula adalah untuk bermain di peringkat yang lebih tinggi dan mencapai banyak kejayaan bersama pasukan ini,” kata pemain kelahiran Pasir Puteh itu.
Sebelum ini, pihak pengurusan Kedah Darul Aman (KDA) FC mengumumkan bahawa penjaga gol berusia 29 tahun itu meninggalkan skuad Sang Kenari secara persetujuan bersama, semalam.
Kalamullah telah merekodkan 36 perlawanan dan 14 rekod tanpa bolos dalam semua kejohanan.
Ini termasuk lima perlawanan tanpa bolos untuk musim 2024/25.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.