Tumpuan :
Sukan

Kalau kepala betul, ekor pun betul, dari atas ke bawah – Tunku Mahkota Ismail

JDT IV merangkul kejuaraan Piala Belia musim ini selepas muncul naib juara pada musim lalu.- FOTO: FAM

KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail nyata gembira dengan kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) IV bergelar juara Piala Belia, malam tadi.

Lebih manis, kejayaan itu dilakar selepas beberapa hari skuad JDT III merangkul kejuaraan Piala Presiden pada 13 November lalu.

Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT menyifatkan apa yang dikecapi oleh skuad muda Harimau Selatan adalah mengikut jejak kejayaan yang dicapai pasukan utama Harimau Selatan.

“Kalau kepala betul, ekor pun betul, dari atas ke bawah. Sebelas tahun… lagi mereka membenci, tidak terima kenyataan dan cuba memperkecilkan kehebatan kelab ini, lagi macam-macam kejayaan Allah kurniakan dalam setiap aspek,” tulis Tunku Mahkota Ismail di InstaStory.

JDT IV berjaya menewaskan Terengganu (TFC) IV 5-3 dalam aksi final kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Pedro Collado Celda mengesahkan kejuaraan menerusi agregat 7-5 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi pertama di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor, Sabtu lalu.

Gol-gol JDT IV dihasilkan menerusi Muhammad Daniesh Amirruddin pada minit ke-17, Zamir Zairi (minit 26 dan 69), Adib Ibrahim (73) serta Adib Safaraz (84).

Sementara itu, TFC IV pula memperoleh jaringan hasil penyudah Che Ku Irfan Danial pada minit ke-35, Iskandar (masa kecederaan babak pertama) dan Iman Alif (masa kecederaan separuh masa kedua).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini