comscore
Tumpuan :
Sukan

Kami perlu bawa pingat tanpa ragu-ragu di Piala Sudirman – Choong Hann

FOTO: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Walaupun ranking semasa skuad badminton negara berada di kedudukan keempat dunia ketika ini, Malaysia tetap menyasarkan kedudukan podium pada saingan Piala Sudirman yang berlangsung di Suzhou, China dari 14 hingga 21 Mei depan.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Wong Choong Hann berkata, sasaran berkenaan dianggap realisitik meskipun bergelut ketika Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 di Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE), Februari lalu.

Malah jelasnya dengan kejohanan itu bakal menawarkan mata ke Sukan Olimpik Paris 2024, Choong Hann melihat ia sebagai tonik terbaik buat pemain sekali gus akan membantu pasukan negara meraih keputusan yang positif.

“Sudah tentu bila berada di ranking keempat dunia kami perlu membawa pulang pingat tanpa ragu-ragu. Malah saya rasa semua pemain akan cuba memberi aksi yang terbaik sebab ia kejohanan pertama musim ini yang menawarkan mata kelayakan Olimpik.

“Kalau dilihat pada edisi lalu kita berjaya mengejutkan Indonesia di suku akhir dan mara ke separuh akhir. Jadi sudah tentu kami tidak mahu sasar kurang dari apa yang diraih sebelum ini.

“Jadi bagi saya ini adalah tanggungjawab bukan sahaja kepada pemain tetapi kepada kami dari barisan kejurulatihan. Jadi kami akan cuba membina barisan pemain yang ampuh menjelang kejohanan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Chong Hann memberitahu pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada rombakan kepada skuad yang diturunkan BAMTC sebagai persiapan menghadapi Piala Sudirman.

Pada edisi Piala Sudirman kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Taiwan, India dan Australia.

India dan Taiwan dilihat bakal menjadi penghalang buat kem badminton negara melangkah jauh kerana dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir.

Loading...
Terkini