PETALING JAYA: “Saya sangat berpuas hati dengan perlawanan hari ini. Walaupun tewas, kami sudah berikan yang terbaik. Soon Huat sangat bekerja keras berlari di setiap gelanggang,” itu kata pemain beregu campuran negara Shevon Lai yang berpasangan bersama suaminya Goh Soon Huat selepas bergelar naib juara Terbuka China semalam.
Pada aksi final yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Changzhou itu, Soon Huat-Shevon tewas kepada beregu tuan rumah Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping yang juga gandingan nombor tiga dunia, 21-16, 14-21, 17-21.
Shevon berkata, banyak pengajaran yang diperoleh oleh mereka pada perlawanan berstatus Super 1000 itu, terutama sekali semangat tidak pernah mengenal erti berputus asa.
“Walaupun kami dapat memenangi set pertama yang mana ia memberi sedikit keyakinan, tapi lawan berjaya bangkit di set kedua dan di set ketiga pula kami ketinggalan agak jauh.
“Satu perkara yang sangat positif ialah kami tidak pernah berputus asa. Meskipun adalah sedikit salah faham, kami masih dapat membantu antara satu sama lain,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Mengulas kebangkitan di set penentuan selepas pada satu ketika ketinggalan agak jauh, 11-20, Shevon berkata, mereka tidak terlalu memikirkan sangat untuk menyamakan kedudukan.
“Saya hanya fikir bagaimana untuk mendapatkan mata demi mata dan ia membolehkan kami bermain lebih santai,” katanya.
Selaku naib juara, Soon Huat-Shevon masih pulang dengan hadiah lumayan berjumlah AS$70,000 (RM294,000), manakala Yan Zhe-Dong Ping mengaut AS$148,000 (RM622,000) selaku juara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.