KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap penilaian terhadap keberkesanan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dapat disiapkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum tahun ini berakhir.
KBS, baru-baru ini mengadakan mesyuarat pertamanya bersama badan induk itu yang turut disertai Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John dengan perbincangan terarah kepada penilaian semula struktur program NFDP.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, berkata penilaian semula itu penting bagi memastikan kerajaan dapat meneliti keberkesanan program berkenaan dan memutuskan sama ada ia perlu penambahbaikan atau tidak.
“Setiap tahun kita NFDP mendapat bajet daripada kerajaan jadi rakyat mahu lihat keberkesanan program ini sama dan melihat sama ada mereka dapat menyertai pasukan kebangsaan atau tidak.
“AFC bersedia untuk membantu dan menilai apa langkah yang perlu untuk dilaksanakan atau tambah baik dan melihat apa yang perlu dilaksanakan atau dibelanjakan oleh kita ini sebenarnya bukan satu pembaziran.
“Jadi mereka akan membuat penilaian dan akan memberi maklum balas kepada kita dan saya harap kita akan mendapat laporan ini secepat yang mungkin jika boleh sebelum tahun depan,” kata Hannah.
Hannah berkata, jika laporan itu dapat dibentangkan secepat yang mungkin, pihaknya boleh melakukan intervesi khususnya terhadap perbelanjaan terhadap program berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.