comscore
Tumpuan :
Sukan

KBS jumpa pihak terlibat isu gangguan seksual jurulatih dodgeball minggu depan

GEORGE TOWN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil maklum dan prihatin terhadap isu gangguan seksual membabitkan jurulatih dodgeball yang dilaporkan media baru-baru ini.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata laporan polis telah dibuat berhubung kes yang didakwa melibatkan beberapa murid sebuah sekolah rendah di Damansara itu.

“Mengenai perkembangan isu itu, saya akan berjumpa dengan pihak terlibat pada minggu depan. Selain itu KPM (Kementerian Pendidikan) telah masuk (ke sekolah) untuk menjalankan siasatan,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Pulau Pinang di Padang Kota Lama di sini, hari ini.

Khamis lalu media melaporkan menurut laporan polis yang dibuat guru besar sekolah terbabit, jurulatih itu dikatakan telah menanggalkan seluar murid, mencubit puting dada murid lelaki dan menyuruh murid perempuan merangkak di celah kangkang.

Laporan polis yang dibuat pada 26 Jun lalu itu antara lain turut menyatakan jurulatih terbabit telah bertindak mengacah untuk menjatuhkan kayu di atas bahagian kemaluan seorang murid lelaki.

Sebelum itu, Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia, (MAD) Datuk Radhakrishnan dilaporkan berkata pihaknya telah menerima aduan daripada Biro Kokurikulum Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Beliau berkata siasatan mendapati lesen kejurulatihan individu tersebut telah ditamatkan pada 11 Jun 2021 atas kesalahan menggunakan sijil kejurulatihan tahap dua yang tidak wujud.

Radhakrishnan turut menasihati mana-mana sekolah atau institusi mengambil jurulatih merujuk pihak persatuan bagi mengelak menggunakan khidmat individu tidak bertauliah selain mencegah kejadian tidak diingini seumpama itu berulang.

Loading...
Terkini