comscore
Tumpuan :
Sukan

KBS mahu persatuan sukan ambil berat keberadaan atlet mereka – Hannah Yeoh

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

KANGAR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu persatuan sukan di seluruh negara sentiasa mengambil berat terhadap keberadaan atlet mereka sama ada ketika sedang melakukan latihan atau berada di luar latihan.

Ini adalah bagi memastikan kejadian serangan terhadap tiga pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim tidak merebak kepada atlet sukan lain.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, KBS menyerahkan siasatan kepada polis dan hal berkenaan.

“Malah perkembangan ini juga termasuk dengan kejadian dimana atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Elias yang mengalami cedera parah.

“Kita tidak tahu apa motif serangan serta kemalangan yang berlaku itu dan itu sebab kita hendak dapat kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk pastikan atlet kita dijaga dengan baik termasuklah atlet kita yang akan bersaing dalam Sukan Olimpik tahun ini.

“Kita hendak pastikan persatuan sukan ambil berat atlet mereka dan untuk atlet yang akan bertanding dalam bolasepak, saya tahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah minta mereka (polis) untuk mengetatkan lagi keselamatan bagi pemain bola sepak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja meninjau Projek Menaiktaraf Trek Balapan dan Astaka di Stadium Tuanku Syed Putra (STSP), di sini hari ini.

Katanya, setiap atlet negara dilindungi menerusi Kos Sukan Selamat oleh KBS bagi memastikan mereka dapat berlatih dan bertanding dengan selamat.

“Kita di KBS sudah melancarkan Kod Sukan Selamat dimana kita hendak wujudkan suasana yang selamat dalam sukan untuk atlet kita bersukan tetapi dalam isu jaminan keselamatan itu adalah dibawah kuasa polis.

“Kita ada 103 jenis sukan di negara jadi kita mahukan suasana selamat dapat dinikmati oleh atlet kita setiap masa,” katanya.

Sebelum ini, wujud kebimbangan terhadap keselamatan atlet selepas tiga pemain bolasepak kebangsaan iaitu penyerang Terengganu FC, Akhyar Rashid disamun di kediamannya di Kuala Terengganu, penyerang Selangor FC, Faisal Halim cedera parah disimbah asid di Petaling Jaya manakala kereta tonggak veteran JDT, Safiq Rahim dipecahkan dua lelaki di Johor Bahru.

Malah, semalam Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC (SFC), Dr Johan Kamal Hamidon mendedahkan bahawa beliau dan beberapa pegawai SFC turut menerima ugutan sasaran serangan simbahan asid.

Terengganu FC pula dilaporkan terpaksa menjalani sesi latihan secara tertutup berikutan tonggak mereka Akhyar Rashid diekori oleh individu tidak dikenali.

Semalam pula, atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Elias mengalami cedera parah selepas motosikalnya dirempuh oleh seorang pemandu kereta yang didapati mabuk di Johor Bahru.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini