GOLD COAST: Kekalahan mengejut Australia di tangan Bahrain pada aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 kelmarin menyaksikan ketua pasukan, Maty Ryan menggesa rakan sepasukan lebih waspada menjelang perlawanan kedua berdepan Indonesia di arena lawan Selasa ini.
Gol sendiri lewat permainan oleh Harry Souttar memberi kemenangan 1-0 kepada Bahrain di Gold Coast dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C, bagi kelayakan zon Asia.
“Kami tahu mereka mempunyai kualiti yang boleh membahayakan kami jika kami tidak bermain dengan baik dan jika kami tidak memanfaatkan segala peluang,” kata Ryan mengenai Indonesia yang dibimbing oleh Shin Tae-yong.
“Kami fokus pada diri kami dan apa yang perlu kami lakukan. Kami yakin sebagai sebuah pasukan, kami boleh bangkit daripada kekalahan tempoh hari,” katanya lagi.
Penyokong tuan rumah dijangka memenuhi Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, di mana pasukan Indonesia muncul buat kali pertama dalam fasa kelayakan Asia untuk Piala Dunia.
Indonesia mendapat suntikan semangat selepas berjaya mengikat Arab Saudi dengan keputusan seri 1-1 di Jeddah, Khamis lalu.
“Pastinya akan ada penyokong yang ramai. Mereka menunjukkan kualiti mereka bukan sahaja menentang Arab Saudi baru-baru ini tetapi juga dalam perlawanan sebelum ini.
“Fokus kami kini beralih kepada mereka dan merancang strategi permainan untuk mendapatkan keputusan yang baik buat kami dan Australia,” kata Ryan
Jepun dan Bahrain kini mendahului carta dengan masing-masing meraih tiga mata, manakala Australia masih belum memperoleh sebarang mata dalam usaha untuk menamatkan saingan di kelompok dua teratas yang menawarkan kelayakan automatik ke pusingan akhir di Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.