comscore
Tumpuan :
Sukan

Kedah kecewa di Petaling Jaya

FOTO: SELANGOR FC

PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) terus mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super selepas menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 3-2 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan anak buah Tan Cheng Hoe menghimpun 28 mata, tiga mata mengatasi Sri Pahang FC (SPFC) di tempat ketiga dan empat mata di depan Sabah FC.

Ini juga kemenangan keenam dalam tujuh aksi terakhir buat ‘The Red Giants’ sekali gus meletakkan mereka pada landasan baik untuk mara ke pertandingan Asia musim depan.

Namun pada aksi terbabit, pelawat hanya memerlukan lima minit untuk membuka jaringan selepas rembatan Amirbek Juraboev berpunca daripada sepakan sudut berjaya menewaskan Khairul Azhan Khalid untuk kedudukan 1-0.

SFC dihadiahkan sepakan penalti apabila Yohandry Orozco dikasari Kalamullah Al Hafiz selepas pemain tengah itu cuba mendapatkan bola muntah hasil percubaan Ayron del Valle.

Sekalipun tendangan Ayron ditepis Kalamullah namun penyerang Colombia itu tenang menyambut bola untuk mengikat kedudukan pada minit ke-23.

Kedudukan 1-1 itu hanya bertahan empat minit apabila Willian Lira menghukum kesilapan benteng SFC untuk meletakkan KDA FC kembali memimpin perlawanan.

Aksi bertambah rancak ketika saingan babak pertama berbaki lima minit selepas SFC berjaya mengikat kedudukan sekali lagi, kali ini menerusi rembatan Faisal Halim yang memanfaatkan situasi kelam kabut di depan gol.

Bersambung babak kedua, kedua dua pasukan saling mengasak namun KDA FC kehilangan Kamil Akmal yang dilayangkan kad merah kerana menghalang larian Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ke-74.

Situasi itu memberikan sepakan percuma yang berjaya membuahkan hasil untuk gol kemenangan SFC selepas Noor Al Rawabdeh menyudahkan gerakan yang bermula daripada percubaan Orozco yang terkena palang.

Loading...
Terkini