comscore
Tumpuan :
Sukan

Kedah mahu terus lahirkan pemain skuasy taraf dunia

EXCO Belia dan Sukan Kedah, Muhamad Radhi Mat Din

KUALA LUMPUR: Pusat Skuasy Kedah di Alor Setar hasil inisiatif Kementerian Belia dan Sukan KBS, menyemarakkan lagi hasrat Kerajaan Negeri Kedah untuk terus menjadi pusat pembangunan melahirkan atlet skuasy sehingga berjaya ke persada dunia.

Exco Belia dan Sukan Kedah, Muhamad Radhi Mat Din berkata, dengan adanya gelanggang skuasy berskala besar yang baru siap di Alor Setar, maka ia sedikit sebanyak dapat membantu atlet di negeri itu untuk mencipta lebih banyak kejayaan.

“Sukan skuasy memang kita fokus (memberi tumpuan utama) dan saya ucap terima kasih kepada Menteri KBS, Hannah Yeoh bagi gelanggang baru (skuasy).

“Sekarang ini kita ada pelapis dalam 30 sehingga 40 pemain dalam pelbagai peringkat umur untuk sukan skuasy selain banyak lagi bagi sukan lain,” kata Radhi bekas pemain skuad bola sepak kebangsaan ketika ditemui di Menara KBS baru-baru ini.

Pada Disember tahun lalu, Hannah menyerahkan pembangunan Pusat Skuasy Kedah di Alor Setar bernilai RM10.8 juta.

Selain itu, ia dilengkapi fasiliti bertaraf dunia dan lebih selesa seperti kemudahan lapan gelanggang, astaka penonton, bilik persalinan, surau, bilik jurulatih, bilik teknikal dan bilik sokongan.

Sebagai rekod, selain pemain skuasy adik-beradik wanita kebangsaan, Aira dan Aifa Azman, S Sivasangari juga antara atlet kelahiran Kedah.

Mereka adalah tonggak pasukan yang menyaksikan skuad skuasy tampil cemerlang pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China membawa pulang tiga emas, satu perak dan satu gangsa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini