comscore
Tumpuan :
Sukan

Kedah turun tanpa dua tonggak Ahad ini

Ketua Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain. – FOTO: Tangkap layar Facebook KDA FC

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akan turun menentang pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri Ahad ini, tanpa dua tonggak utama di bahagian pertahanan yang menjalani penggantungan perlawanan sebelum ini.

Terdahulu, pemain pertahanan kiri Ariff Farhan yang mengumpul tiga kad kuning bakal menjalani peggantungan satu perlawanan, manakala seorang lagi pemain pertahanan Wan Amirul Afiq turut menerima nasib sama kerana status kad merah diterimanya pada aksi menentang Penang FC Rabu lalu.

Menurut Ketua Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain, penggantungan dua pemain itu menyebabkan skuadnya berdepan tugas lebih sukar daripada sebelum ini kerana kedua-dua posisi itu penting demi mengekalkan kekuatan kubu Kedah.

“Kami perlu melakukan percaturan baharu dengan meletakkan pemain lain yang mampu memberi keseimbangan di posisi penting kubu Sang Kenari untuk aksi Ahad ini.

“Namun dengan penggantungan dua pemain pertahanan iaitu Wan Amirul Afiq dan Ariff Farhan, ia juga akan membuka peluang kepada pemain lain yang menunggu lama untuk berada dalam kesebelasan utama apabila bertemu JDT nanti.

“Jadi saya perlu lebih teliti dan memikirkan perancangan yang dapat menyeimbangkan kekuatan benteng selepas kami kehilangan dua tonggak utama itu,” katanya.

KDA FC dan JDT masing-masing berada pada kedudukan dua pasukan teratas Liga Super setakat tujuh perlawanan dengan menyaksikan JDT mendahului dengan jumlah 21 mata berbanding KDA FC, 16 mata.

Loading...
Terkini