comscore
Tumpuan :
Sukan

Keganasan tidak punya tempat dalam sukan atau masyarakat – FIFA

ANKARA, TURKIYE: Keganasan dalam Super Lig Turkiye tidak boleh diterima, kata Presiden FIFA, Gianni Infantino susulan pergaduhan selepas kemenangan 3-2 Fenerbahce di Trabzonspor.

Penyokong Trabzonspor menyerbu masuk ke padang sebaik wisel penamat ditiup dan menyerang pemain-pemain Fenerbahce yang terpaksa mempertahankan diri masing-masing.

Polis Turkiye menahan 12 orang penyokong dalam insiden itu, kata Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya.

Pemain-pemain Fenerbahce meninggalkan Trabzon dengan kapal terbang dan kawalan ditingkatkan sebagai langkah keselamatan.

“Keganasan yang berlaku selepas perlawanan Super Lig antara Trabzonspor dan Fenerbahce tidak boleh diterima sama sekali – baik di atas atau di luar padang, ia tidak mempunyai tempat dalam sukan atau masyarakat kita.

“Semua pemain perlu berada dalam keadaan selamat dan terjamin untuk beraksi dalam permainan yang memberikan keseronokan kepada begitu ramai peminat di seluruh dunia.

“Saya mahu pihak berkuasa memastikan perkara ini dihormati di setiap peringkat dan mereka yang terbabit dalam insiden mengejutkan di Trabzon dikenakan tindakan sewajarnya,” kata Infantino.

Liga Turkiye musim ini turut dicemari beberapa insiden keganasan lain, termasuk serangan ke atas pengadil oleh presiden kelab dan bantahan terhadap keputusan pengadil.

“Kami mengharungi tempoh yang menyaksikan bola sepak Turkiye kini dalam keadaan huru-hara, keadaan sentiasa tegang, dan kami tidak mampu menggunakan kuasa bola sepak sebagai penawar,” kata pengendali Trabzonspor, Abdullah Avci.

“Saya tidak faham mengapa tempat ini begitu tegang. Tidakkah kami berhak untuk meraikan? Kita perlu menangani perkara ini. Kita perlu bertimbang rasa terhadap satu sama lain dan berfikir dengan wajar,” kata pengendali Fenerbahce, Ismail Kartal. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini