
KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner gembira apabila pemainnya berjaya melepasi halangan berliku dengan menyingkirkan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) sebelum mara ke pentas final Piala Malaysia musim ini.
Jelas pengendali kelahiran Croatia itu, kejayaan malam tadi begitu bermakna buat diri serta pasukannya lebih-lebih lagi beliau baru mengambil alih tugas membimbing skuad Penyu itu pada Januari lalu.
Katanya, kemenangan itu juga berjaya menebus kembali kehampaan apabila ditumpaskan skuad The City Boys pada aksi separuh akhir Piala FA Jun lalu di tempat sendiri sekali gus menyaksikan TFC kempunan untuk melangkah ke pentas final buat kali kedua berturut-turut.
Bagaimanapun jelas bekas pemain tengah kelab Singapore Armed Forces Football Club (SAFFC) musim 1999 itu, kejayaan berkenaan tidak datang bergolek sebaliknya anak buahnya melalui perjalanan yang begitu sukar bermula perlawanan pertama lagi sehinggalah ke peringkat separuh akhir, sebelum mara untuk merebut piala berprestij itu menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 9 Disember depan.
Tambah jurulatih yang lebih mesra dipanggil ‘Tommy’ itu, pujian wajar diberikan kepada anak buahnya yang bekerja keras sepanjang musim ini lebih-lebih lagi dengan jadual perlawanan yang begitu padat termasuk aksi dalam saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Perlawanan separuh akhir kedua pada malam ini (malam tadi) bukan mudah sebaliknya ia penuh berliku, perlawanan pertama kami menang 2-1 di tempat lawan, manakala malam ini kami layak ke final dengan jaringan yang sama.
“Ini kerana skuad lawan begitu kuat dan liat untuk ditewaskan, anda lihat mereka ketinggalan pada awal akhirnya pasukan itu bangkit menjaringkan gol sekali gus sedikit sebanyak memberikan tekanan kepada pemain kami.
“Namun saya begitu bangga dengan semangat juang yang tinggi dan kerja keras pemain bermula babak awal permainan lagi, mereka berusaha untuk memburu seberapa banyak jaringan kerana sedar lawan pada bila-bila masa sahaja boleh bangkit.
“Tahniah kepada semua pemain, bukan hanya kepada Ivan Mamut, ini juga hadiah mereka kepada para peminat yang sentiasa memberi sokongan padu bukan sahaja di tempat sendiri malah juga di stadium lawan, saya begitu gembira, ini bagus buat bola sepak Terengganu dan Malaysia,” kata Tommy.
Pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi yang berpihak tuan rumah 2-1, penyerang sensasi TFC, Ivan Mamut membuktikan sentuhannya begitu berbisa selepas berjaya meledak dua gol pada setiap babak manakala gol saguhati pelawat dijaringkan Romel Morales pada babak kedua.