PETALING JAYA: Hasrat China menyapu bersih kelima-lima aksi final Badminton Terbuka China tidak kesampaian susulan kegagalan beregu lelaki He Ji Ting-Ren Xiang Yu melengkapkan misi itu apabila tewas kepada pasangan negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Pada aksi final yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Changzhou, Sze Fei-Nur Izzuddin menampilkan kelas tersendiri menang 13-21, 21-12, 21-17 pada pertarungan yang berlarutan 58 minit.
China sebelum itu sudah menggenggam empat kejuaraan, bermula dengan beregu wanita yang dimenangi Li Yi Jing-Luo Xu Min selepas mengalahkan rakan senegara Li Wen Mei-Zhang Shu Xian 11-21,21-18,21-8.
Kemudian tuan rumah menjuarai pula acara beregu campuran hasil kemenangan gandingan nombor tiga dunia Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping ke atas beregu negara Goh Soon Huat-Shevon Lai 16-21,21-14,21-17.
Gelaran ketiga mereka diraih perseorangan wanita Wang Zhi Yi dengan kemenangan 21-17,21-15 ke atas pemain Jepun, Tomoka Miyazaki.
Menyusul kemudian, kejayaan perseorangan lelaki Weng Hong Yang yang menumpaskan juga lawan dari Jepun Kodai Naraoka 21-17,21-15 untuk gelaran keempat tuan rumah.
Namun segalanya tidak seperti yang dimahukan tuan rumah apabila muncul Sze Fei-Nur Izzuddin menjuarai beregu lelaki.
Selaku juara, Sze Fei-Izzuddin membawa pulang hadiah wang tunai AS$148,000 (RM622,361) manakala Ji Ting-Xiang Yu meraih AS$70,000 (RM294,360).
Lebih daripada itu mereka mencatat sejarah mengakhiri penantian 35 tahun beregu lelaki menjuarai Terbuka China selepas kali terakhir dilakukan gandingan adik-beradik Datuk Seri Jalani – Datuk Razif Sidek
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.