comscore
Tumpuan :
Sukan

Kekal fokus, beri persembahan terbaik – Hamidin

Hamidin ketika meninjau persiapan skuad negara sebelum ini. – Foto: FAM / Facebook

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya tidak ada pilihan lain selain perlu meraih kemenangan besar ke atas Taiwan sekurang kurangnya dengan lapan gol untuk mengesahkan tempat ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 serta slot automatik ke Piala Asia 2027.

Situasi itu diakui Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengharapkan anak buah Kim Pan Gon kekal fokus pada aksi terakhir itu dan mencuba sedaya upaya untuk meledak seberapa banyak jaringan yang boleh dilakukan mereka pada aksi terbabit.

“Pemain faham dan akan cuba buat persembahan terbaik dan menjaringkan seberapa banyak gol. Kita juga doakan supaya Oman menang dengan seberapa banyak gol juga menentang Kyrgyzstan di laman sendiri.

“Dalam perkembangan ini, kita lihat tiada kecederaan dalam kalangan pemain dan kita harap pemain akan lebih bersedia dalam baki beberapa hari lagi persiapan sebelum menentang Taiwan,” kata Hamidin.

Terdahulu, peluang untuk Harimau Malaya melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan meraih tiket awal ke Piala Asia 2027 semakin tertutup apabila terikat 1-1 dengan Kyrgyzstan, Khamis lalu.

Satu mata yang diraih di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek itu menyaksikan skuad kendalian Kim Pan Gon berdepan tugas yang sangat sukar apabila perlu mengatasi Taiwan dengan jaringan besar dalam aksi terakhir Kumpulan D Selasa ini selain mengharapkan Kyrgyzstan tewas kepada Oman.

Berbaki satu lagi perlawanan, skuad negara berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan tujuh mata meskipun satu ketika mendahului saingan peringkat kumpulan selepas dua perlawanan pertama hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan.

Namun skuad negara gagal mempertahankan ‘takhta’ apabila merakam dua kekalahan berturut-turut di tangan Oman pada aksi kelayakan, Mac lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini