comscore
Tumpuan :
Sukan

Kekurangan bukan halangan atasi Kyrgyzstan – Pan Gon

Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon menaruh keyakinan untuk mencipta kejutan berdepan Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek, malam esok.

Pengendali dari Korea Selatan itu sedar berdepan tugas sukar menghadapi pasukan di ranking 100 dunia di hadapan penyokong mereka sendiri tanpa beberapa pemain penting.

Walau bagaimanapun, dia yakin anak buahnya telah bersedia sepenuhnya untuk mencabar pasukan tuan rumah bagi mendapatkan tiga mata dalam perlawanan terakhir.

“Ini perlawanan penentuan buat kedua-dua pasukan untuk layak ke pusingan seterusnya. Semua keadaan tidak menyebelahi kami namun itu bukan halangan kerana kami ada semangat, keinginan dan impian untuk melangkah lebih jauh.

“Kami sedar Kyrgyzstan telah merekrut pemain baharu dengan kualiti yang baik, yang menjadikan pasukan itu lebih baik dari segi teknikal dan aspek taktikal.

“Kami juga mempunyai beberapa pemain baharu dan melakukan persiapan yang baik. Semoga kami dapat memberikan permainan yang bagus dan mencari keputusan terbaik juntuk rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media praperlawanan di Bishkek hari ini.

Harimau Malaya berada di kedudukan ketiga Kumpulan D dengan enam mata, sementara Kyrgyzstan yang berkongsi sembilan mata bersama Oman menghuni dua tangga teratas.

Kedua-dua pasukan itu memerlukan kemenangan untuk mengesahkan tempat ke pusingan ketiga Piala Dunia 2026 dan layak ke Piala Asia 2027.

Harimau Malaya bertandang ke Bishkek tanpa beberapa tonggak susulan kecederaan temasuk dua pemain sayap Faisal Halim dan Arif Aiman Mohd Hanapi, penyerang Darren Lok, Muhammad Syafiq Ahmad, dan Romel Morales selain penjaga gol utama Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Selepas menamatkan aksi di Bishkek, skuad negara akan pulang bagi perlawanan keenam berdepan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun.

Dua pasukan teratas bagi setiap kumpulan akan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selain meraih slot automatik ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini