Tumpuan :
Sukan

Kelab penyokong TFC mohon FAM, MFL pertimbang harga ‘tiket rahmah’ final Piala Malaysia

Peminat setia TFC mengharapkan FAM dan MFL dapat memberikan harga tiket rahmah final Piala Malaysia pada 8 Disember depan. – FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC memohon Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dapat mempertimbangkan dengan memberikan harga tiket rahmah perlawanan akhir Piala Malaysia pada 8 Disember depan.

Presidennya, Mohd Isa Che Ariffin berkata, sebagai tanda sokongan peminat kepada sukan bola sepak negara dan tanda terima kasih FAM serta MFL kepada penyokong, sudah tiba masanya badan induk bola negara menurunkan harga tiket pertemuan Terengganu FC (TFC) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

Jelasnya, memandangkan ekonomi sebahagian peminat TFC yang kurang stabil selain terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur kerana sewa bas dan van melambung, langkah menurunkan harga adalah perlu.

Musim lalu MFL menetapkan tiket final Piala Malaysia membabitkan pertemuan JDT dengan Selangor FC berharga RM50 dan RM70 bagi tempat duduk terbuka, premium grandstand RM150 serta VIP grandstand RM200.

“Menjelang final Piala Malaysia bulan depan, isu harga tiket sangat dinantikan dan menjadi bualan kedua-dua peminat TFC dan JDT sama ada kekal, diturunkan atau dinaikkan.

“Bagi kami para penyokong TFC sangat-sangat mengharapkan ada ihsan daripada pihak FAM dan MFL untuk mengumumkan harga tiket rahmah sebagai tanda terima kasih kepada penyokong setiap pasukan yang akan ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Ini memandangkan keadaan ekonomi sekarang yang kurang baik bagi kami penyokong TFC yang akan ke Bukit Jalil selain terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi kerana harga sewa bas dan van yang meningkat menjadi bebanan bagi kami para peminat.

“Namun demi semangat dan sokongan kepada pasukan, kami terpaksa mengikat perut untuk mengumpul dana bagi membayar harga sewa yang mahal. Jika pihak FAM dan MFL dapat pertimbangkan keluhan serta rintihan para penyokong, kami begitu mengalukan,” katanya.

Loading...
Terkini