comscore
Tumpuan :
Sukan

Kelantan FC berdepan tugas sukar, Kuching City intai satu lagi kejutan

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

KUALA LUMPUR: Kempen Piala Malaysia kembali bersambung dengan dua perlawanan suku akhir pertama mengambil tempat esok.

Paling menjadi tumpuan, semestinya pertemuan Kelantan FC yang akan menerima kunjungan juara Liga Super dan Piala FA, Johor Darul Ta’zim, JDT di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu.

JDT yang mara menerusi agregat 6-0 ketika menyingkirkan PJ City FC pastinya dilabel sebagai pasukan pilihan untuk sekali lagi mencatat kemenangan.

Bagaimanapun, Kelantan sudah tentu tidak mahu mempersiakan kelebihan bermain di laman sendiri untuk mencipta kejutan ke atas JDT.

Bermakna, tugas berat menanti jurulatih, Rezal Zambery Yahya untuk merangka percaturan ampuh selain memperkukuhkan benteng pertahanan untuk menyekat barisan serangan JDT.

Di pihak JDT, tidak perlu dipersoalkan lagi kemampuan yang dimiliki skuad kendalian Hector Bidoglio ini, memiliki benteng pertahanan kental disamping barisan serangan yang cukup merbahaya.

Sekaligus meletakkan JDT sebagai pilihan utama, bukan saja untuk mara ke peringkat seterusnya, sebaliknya memiliki aura untuk mengulangi kejayaan 2017 dan 2019, bergelar juara Piala Malaysia.

Dalam pada itu, pertemuan dua pasukan borneo, Kuching City FC dan Sabah FC turut menarik perhatian peminat bola sepak tempatan.

Disebalik reputasi sederhana Kuching City, kejayaan mara ke suku akhir dilihat satu pencapaian yang cukup memberangsangkan dan tidak mustahil satu lagi kejutan boleh berlaku.

Dan pastinya perkembangan ini sudah dapat dibaca pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee yang bakal membariskan kesebelasan terbaik untuk raih kelebihan awal sebelum pertemuan kedua di Kota Kinabalu.

Loading...
Terkini