comscore
Tumpuan :
Sukan

Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027: Harimau Malaya tak perlu tukar gelanggang

Gelanggang Harimau Malaya di Stadium Nasional bakal menjalani proses penukaran rumput daripada jenis Zeon Zoysia kepada hibrid. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya tampak tidak perlu menukar gelanggang bagi menghadapi aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Taiwan, bulan depan.

Ia susulan proses penukaran rumput di gelanggang rasmi Harimau Malaya iaitu Stadium Nasional, Bukit Jalil dijangka akan bermula selepas perlawanan terakhir Kumpulan D itu.

Malah, ketika aksi pertunjukkan ‘Battle of The Reds’ antara Manchester Reds dan Liverpool Reds, Sabtu lalu, keadaan rumput di Stadium Nasional dilihat dalam keadaan baik serta mendapat pujian daripada beberapa bekas pemain Liga Perdana Inggeris (EPL).

Justeru, laporan memetik kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bahawa proses penukaran rumput kepada jenis hibrid di Stadium Nasional akan dijalankan selepas aksi itu pasti melegakan semua pihak.

“Saya difahamkan oleh pihak PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) dan pihak Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bahawa penukaran rumput akan dilakukan selepas aksi kelayakan Piala Dunia, Jun depan. Saya berasa ia mungkin akan bermula Julai atau Ogos,” kata Hamidin.

Meskipun terdapat pilihan venue lain seperti Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, namun Stadium Nasional tetap dianggap sebagai pilihan paling terbaik buat Harimau Malaya terutama dalam memastikan kehadiran ramai penyokong.

Sokongan padu daripada seluruh penyokong sangat diperlukan skuad kendalian Kim Pan Gon kerana aksi berdepan Taiwan, 11 Jun depan mungkin menjadi perlawanan penentu nasib Harimau Malaya dalam kempen kelayakan itu.

Hamidin bagaimanapun berkata, bahagian teknikal bersama barisan kejurulatih skuad kebangsaan terlebih dahulu akan mengadakan lawatan ke Stadium Nasional bulan ini.

Beliau menjelaskan, lawatan itu bagi memeriksa keadaan padang sebelum memutuskan sama ada gelanggang itu sesuai atau tidak untuk digunakan bagi aksi berdepan Taiwan.

Sebelum ini, wujud persoalan mengenai gelanggang Harimau Malaya untuk melayan kunjungan Taiwan selepas Stadium Nasional bakal menjalani proses penukaran rumput daripada jenis Zeon Zoysia kepada hibrid.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini