comscore
Tumpuan :
Sukan

Kematian Sala: Cardiff tuntut semula pampasan 104 juta pound daripada Nantes

Emiliano Sala (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Cardiff City, Ken Choo ketika menandatangani kontrak pada tahun 2019. Foto: AGENSI

CARDIFF: Cardiff City dilaporkan menuntut pampasan bernilai 104 juta pound (RM612.12 juta) di atas kematian Emiliano Sala dalam nahas kapal terbang pada tahun 2019.

Dalam perkembangan terkini kes antara Cardiff dan Nantes  terhadap kematian penyerang dari Argentina itu, media Perancis melaporkan Cardiff mahukan pampasan susulan kelab itu tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris.

Cardiff bersetuju membayar 15 juta pound (RM88.32 juta) untuk menandatangani Sala dari kelab Perancis  ke Wales tetapi pesawat berkenaan terhempas dalam perjalanan.

Cardiff dilaporkan akan menyerahkan invois bernilai 104 juta pound (RM612.12 juta) kepada Mahkamah Komersial Nantes hari ini, jumlah berdasarkan analisis data yang mengatakan mereka mempunyai peluang 54.2 peratus terselamat daripada penyingkiran dengan kehadiran Sala.

Kelab itu menggunakan khidmat Analytics FC, yang mengambil kira gol bakal dijaringkan Sala serta mata mampu dikutip Cardiff sepanjang babak kedua musim.

Nantes melancarkan tuntutan balas berdasarkan faktor moral, dan menuntut Cardiff didenda.

Cardiff kendalian Neil Warnock tersingkir pada tahun 2019 selepas menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga ketiga tercorot, dua mata di bawah garis selamat.

Analisis dibentangkan Cardiff berdasarkan purata satu gol setiap tiga perlawanan dijaringkan Salah di liga Perancis, dan dijangka beraksi cemerlang di Liga Perdana Inggeris.

Cardiff sebelum ini menjelaskan kepada FIFA yang Sala belum didaftarkan sebagai pemain mereka ketika nahas berkenaan dan tidak perlu membayar yuran perpindahan.

Bagaimanapun FIFA mengatakan perpindahan sudah disempurnakan dan mengenakan sekatan perpindahan kepada Cardiff  kerana tidak melakukan pembayaran.

Ia ditarik balik pada Januari selepas pemilik Cardiff, Tan Sri Vincent Tan membuat bayaran penuh kepada Nantes pada Julai.

Cardiff kini berharap dapat menuntut semula yuran perpindahan dan pampasan daripada Nantes.

“Saya sangat marah. Kami tidak ada pilihan, kami tidak akan berhenti.

“Kami tidak dapat menggunakan pemain yang dibeli. Emiliano Sala mungkin akan menjaringkan beberapa gol yang akan menyelamatkan kami daripada penyingkiran ke Liga Kejuaraan.

“Akibatnya kami kerugian hampir 100 juta pound. Dengan Sala, mungkin kami akan kekal (di Liga Perdana Inggeris).

“Dia tidak bermain satu perlawanan pun untuk kami. Mengapa kami perlu membayar penuh yuran perpindahannya? FC Nantes perlu dihukum,” kata Vincent.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini