comscore
Tumpuan :
Sukan

Kemenangan itu bagai satu ketagihan – TMJ

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan menjawab pelbagai persoalan diajukan Khairy Jamaluddin pada temu bual eksklusif menerusi segmen Bekpes Hot di Hot FM, pagi tadi. – FOTO: HotFM

KUALA LUMPUR: “Kemenangan itu bagaikan satu ketagihan untuk buat lebih banyak lagi.”

Demikian maklum balas pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika ditanya bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada temu bual eksklusif menerusi segmen Bekpes Hot di Hot FM, pagi tadi.

Khairy bertanya adakah skuad Harimau Selatan tidak bosan untuk beraksi di negara ini selepas sudahpun mendominasi kancah tempatan dan bagaimana Tunku Ismail memberi motivasi kepada pemainnya.

“Kalau dalam soal kemenangan, kita tidak boleh penat kerana kemenangan itu bagaikan satu ketagihan. Contohnya kita tidak tewas dalam saingan liga sebanyak tiga kali dan kita buat rekod jaringan serta bolos.

“Setiap sasaran ini jadi motivasi untuk kami capai dan sudah tentu, ideanya adalah untuk melihat sejauh mana kami boleh pergi dengan pasukan gergasi Asia di Liga Juara Juara Asia (ACL).

“Ini bukan perkara yang mudah. Ya, walaupun kami sudah menang banyak trofi tetapi setiap rekod itu bermakna kerana ia pencapaian dan memberi satu motivasi,” kata Tunku Ismail.

Pada sesi temu ramah itu, Tunku Ismail sempat meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk menjawab persoalan yang diajukan Khairy serta penyampai lain seperti Johan, Fara Fauzana dan AG.

Sebagai rekod, skuad yang ketika ini dibimbing Esteban Solari sudah menjulang pelbagai trofi dalam kancah domestik, termasuklah menyapu bersih empat kejuaraan pada musim lalu.

Mereka menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Piala FA, Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut serta menutup musim dengan merangkul Piala Malaysia.

Pada musim 2023, mereka tampak terus ‘bernafsu’ untuk memburu kejuaraan buat kali ke-10 dan menjadi satu satunya pasukan yang meraih empat kemenangan bersih dalam Liga Super setakat ini.

Loading...
Terkini