comscore
Tumpuan :
Sukan

Kerteh FC dapat sentuhan DNA akademi bola sepak Sepanyol

KERTEH: Kelab bola sepak komuniti, Kerteh FC menjalin kerjasama dengan akademi bola sepak dari Barcelona, Sepanyol, iaitu RieraSport menerusi pelantikan pemiliknya, Oscar Riera sebagai Penasihat Teknikal Kerteh FC.

Menurut Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim, Oscar kini berada di Kerteh untuk berkongsi ilmu dan kepakarannya dengan jurulatih dan pelatih kelab tersebut.

“Kerteh FC telah bekerjasama dengan Oscar sejak 1 Mei 2020. Sebagai Penasihat Teknikal, Oscar bertanggungjawab untuk membentuk DNA Kerteh FC dengan menyediakan metodologi latihan kepada pemain dan jurulatih kelab Kerteh FC.

Jelas Mohd Razeman, Kerteh FC merasa amat bertuah kerana mendapat sentuhan Oscar yang juga anak kepada bekas Kapten Pasukan Kebangsaan Sepanyol dan Kelab RCD Espanyol era 1960-an iaitu Julian Riera.

Oscar juga merupakan bekas Pengurus Jabatan Pencari Bakat Antarabangsa Kelab RCD Espanyol serta pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif di 26 buah akademi bola sepak dengan jumlah pelatih lebih 8,000 orang di seluruh dunia termasuk di Eropah, Afrika, UAE dan Amerika Selatan.

Tambah beliau, SMK Kerteh adalah sekolah dibawah ‘Affiliate Program’ Kerteh FC di mana sekolah tersebut menerima faedah dari segi kejurulatihan, barangan dan peralatan serta tempat latihan yang disediakan oleh pihak kelab.

Sementara itu Oscar berpendapat, kualiti pelatih kelab itu boleh dibanggakan khususnya dari segi corak permainan dua sentuhan bola yang diterapkan.

“Secara umumnya saya melihat pelatih mampu menyerap teknik permainan berasaskan DNA yang saya bawa untuk mereka dalam tempoh masa yang singkat.

“Begitu juga dengan barisan Kejurulatihan setiap peringkat umur kelab ini yang saya dapati cukup berkualiti dan memahami metodologi bola sepak yang saya terapkan di sini,” katanya.

Tiga pelatih Kerteh FC iaitu Muhammad Hafiq Aiman Mohd Zaid, Muhammad Haziq Zahid dan Muhammad Fariz Juprizal turut berjaya menarik perhatian beliau dan merancang untuk membawa mereka bermain di Sepanyol jika mempunyai penaja.

Kerteh FC bakal menyertai di Liga Bola sepak Terengganu Bawah 12 Tahun, Bawah 17 tahun dan pasukan utama yang dijangka bermula pada Julai 2023.

Manakala pasukan Bawah 8 Tahun, 10 Tahun, 12 Tahun B, 14 Tahun dan 16 Tahun akan menyertai Liga Suparimau 2023 musim B yang akan bermula pada Jun 2023.

Loading...
Terkini