MANCHESTER: Ruud van Nistelrooy berminat untuk menjadi pengendali Manchester United pada masa akan datang, tetapi buat masa sekarang dia gembira untuk kekal sebagai penolong kepada pengendali baharu, Ruben Amorim.
Van Nistelrooy akan melengkapkan perlawanan keempatnya sebagai pengendali sementara apabila bertemu Leicester City di Old Trafford esok, sebelum menyerahkan skuad kepada Amorim yang akan mula bertugas Isnin ini.
Bekas penyerang United itu, yang mempunyai beberapa peluang membimbing pasukan apabila kembali ke kelab sebagai penolong Erik ten Hag pada musim panas lalu, ditanya sama ada dia berminat mengisi kerusi panas di Old Trafford.
“Sudah tentu, saya memikirkannya masak-masak ketika membuat keputusan untuk menjadi penolong jurulatih United.
“Saya sedar kembali ke Manchester United adalah sesuatu yang istimewa dan saya mahu menjadi sebahagian daripada perjalanan ini, walaupun sebagai penolong jurulatih.
“Saya bercita-cita untuk menjadi pengendali, tetapi saya membuat keputusan untuk menandatangani kontrak dua tahun sebagai penolong jurulatih,” kata Van Nistelrooy.
Bagaimanapun Van Nistelrooy belum pasti sama ada peranannya masih sama di bawah Amorim yang dijangka akan membawa barisan kejurulatihannya dari Sporting Lisbon.
Fokus Nistelrooy kini ialah menyerahkan pasukan kepada pengendali baharu tanpa sebarang kekalahan dalam empat perlawanan di bawah kendaliannya.
Setakat ini United menang dua dan seri sekali di bawah Nistelrooy, dan mereka perlu mencatat keputusan positif menentang Leicester esok. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.