comscore
Tumpuan :
Sukan

Kesebelasan utama KDA FC akan dinilai di Turkiye

Pengendali KDA FC, Nafuzi Zain berlepas ke Turkiye untuk sesi jelajah pra-musim semalam. – Foto: KDA FC

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain bakal menilai kesebelasan utama Sang Kenari ketika sesi latihan jelajah pra-musim 2023 di Antalya, Turkiye.

Menurut Nafuzi, semua posisi terbuka untuk pemain memberikan aksi terbaik sekaligus dapat disenaraikan dalam kesebelasan utama yang masih belum diputuskan lagi.

“Kesebelasan utama Skuad Sang Kenari setakat ini masih terbuka kepada setiap pemain kerana belum dipastikan lagi. Ini adalah persiapan terakhir yang akan dilakukan di Turkiye.

“Jadi saya berharap pemain dapat membuktikan kemampuan mereka. Peluang yang ada semasa tempoh latihan di Turkiye ini akan digunakan bagi menilai keseluruhan pasukan dan menentukan barisan kesebelasan yang akan dibentuk menghadapi liga musim ini.

“Manakala daripada segi komitmen pada latihan dan perlawanan persahabatan yang dilalui sebelum ini, kita sudah nampak peningkatannya dan saya berpuas hati dengan tahap yang ditunjukkan mereka setakat ini,” kata Nafuzi sebelum bertolak bersama pasukan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Hakim (LTSAH) Alor Setar ke Turkiye semalam.

Pengendali berusia 44 tahun itu juga berkata, peluang beraksi menentang kelab-kelab dari luar negara seperti dari Uzbekistan, Kazakhstan dan Ukraine pada tempoh jelajah pra-musim di Turkiye ini juga memberi pengalaman yang berguna buat skuad yang baru dibentuknya pada musim ini.

“Beraksi dengan pasukan dan suasana yang berbeza memberi pengalaman yang lebih tinggi buat pasukan. Walaupun cuaca di Turkiye berbeza dengan cuaca kita, saya yakin pemain akan cepat menyesuaikan diri dengan keadaan di sana.

“Ini ruang yang lebih baik apabila kita dapat berjumpa dengan pasukan luar negara yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini.

“Di sini (Malaysia) kita dah biasa berjumpa pasukan dalam negara, tetapi dengan pasukan luar negara nanti ia berbeza daripada segi corak dan mutu permainan. Saya rasa ia lebih baik untuk persediaan buat pasukan nanti,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini