BERGAMO: Kecemerlangan penjaga David Raya, berjaya membantu Arsenal membawa pulang satu mata apabila terikat tanpa jaringan menentang Atalanta dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Raya menafikan sepakan penalti minit ke-51 Mateo Retegui dan kemudian menepis percubaan susulan pemain sama untuk memastikan Arsenal tidak memulakan kempen dengan kekalahan.
“Saya melihat dua daripada aksi menyelamat paling baik dalam karier saya daripada David.
“Jika anda tidak boleh menang, anda perlu mengutip mata. Kami bermula baik, tetapi kemudian hilang kawalan dan tidak konsisten. Pertahanan kami tidak teruk diasak, kecuali penalti itu,” kata pengendali Arsenal Mikel Arteta.
Jurularih Atalanta, Gian Piero Gasperini turut kagum dengan ketangkasan Raya.
“Aksi menyelamat pertama sudah cukup baik tetapi yang kedua sukar dipercayai. Penjaga gol itu menjadi penentu,” kata Gasperini.
Bagi Raya, persembahan cemerlangnya adalah hasil nasihat jurulatih penjaga gol, Inaki Cana yang ditemuinya ketika pengadil merujuk VAR untuk keputusan penalti berkenaan.
“Masa yang diambil untuk memeriksa penalti terlalu lama jadi saya ke tepi dan bercakap dengan jurulatih penjaga gol untuk mendapatkan nasihatnya. Dia cukup membantu, jadi pujian kepadanya,” kata Raya. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.